Laporan Langsung #TangkapMO1: Masjid Negara dan Sogo ke Dataran Merdeka

Hari ini himpunan aman #TangkapMO1 dimulakan di dua lokasi di hadapan Masjid Negara dan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ikuti lintas langsung oleh Malaysia Dateline.

Laporan Langsung #TangkapMO1: Masjid Negara dan Sogo ke Dataran Merdeka

Antara banner yang dibawa oleh peserta demontrasi yang mempersoalkan siapakah MO1? 

Hari ini himpunan aman #TangkapMO1 dimulakan di dua lokasi di hadapan Masjid Negara dan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Perhimpunan yang dianjurkan gabungan mahasiswa ini yang disokong dikalangan NGO, aktivis, Bersih dan parti politik telah bersama mengerakkan demontrasi aman ini, untuk membebaskan Malaysia daripada individu yang dilabelkan sebagai ‘Malaysian Official 1’ oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Dijangka dua lokasi utama itu akan menjadi tumpuan orang ramai pada jam 2 petang ini dalam gerakan Mahasiswa Bersama Rakyat ke Dataran Merdeka.

Ikuti laporan langsung Malaysia Dateline bersama wartawan di lokasi ARIF ATAN dan HAZAYANI ZAKARIA  dengan  jurufoto WAN ZAHARI WAN SALLEH.

Orang ramai mula berkumpul di hadapan Sogo sejak jam 1.30 tengahari tadi.

Lokasi Sogo :  1.30 petang

Dataran Merdeka dan sekitar Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudahpun ditutup dan dikawal oleh pihak polis. Di hadapan Sogo  orang ramai sudah mula berkumpul.

 Lokasi Masjid Negara : 2.00 petang

Selepas solat Zohor peserta demontrasi mula berhimpun dengan melaungkan slogan “Hidup Mahasiswa”.  Ketika ini Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad  sedang berucap di hadapan Masjid Negara.

Beliau mengucapkan tanniah kepada  mahasiswa dan anak muda yang gigih menganjurkan  himpunan #TangkapMO1. Mahasiswa ujarnya lagi,  terpaksa menanggung beban atas penyelewengan kerajaan dalam isu 1MDB apabila pinjaman PTPTN terpaksa dipotong.

 Lokasi Masjid Negara: 2.30 petang

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau berasa bangga kerana dapat melihat kebangkitan mahasiswa menuntut hak mereka.

“Saya berasa bangga menjadi seorang datuk kerana saya sempat melihat cucu-cucu saya menuntut hak mereka.Saya minta pihak polis memberikan kebenaran kepada kami untuk berarak ke Dataran Merdeka.

“Saya juga bangga kerana setelah beberapa dekad mahasiswa bangkit. Saya ini ‘mahasitua’ bukan mahasiswa tapi saya turut berada di sini.Saya merestui apa yang sedang dilakukan ini,” katanya yang hadir bersama isterinya.

Khalid (kiri) dikerumuni penyokong ketika menyampaikan ucapannya dan kehadiran Pak Samad bersama isterinya yang bangga dengan usaha dilakukan anak muda dalam himpunan diadakan ini.

Lokasi Dataran Merdeka: 3.20 petang

Berlaku sedikit kekecohan  di hadapan Dataran Merdeka namun berjaya diredakan ARiF. 

Ketika ini dua kumpulan dari Sogo dan Masjid Negara sudah bergabung berkumpul di hadapan Dataran Merdeka.

Dua kumpulan dari Masjid negara (kiri) dan dari Sogo mula berada di Dataran Merdeka sejak jam 3.20 petang tadi.

Sekitar Dataran Merdeka: Jam 4.00 petang

Pentas ucapan yang berada di hadapan kawasan Dataran merdeka kini di pindahkan  di hadapan kawasan DBKL pihak penganjur tidak mahu menghalang lalu lintas.

Himpunan secara rasmi di hadapan kawasan Dataran Merdeka dimulakan dengan ucapan wakil mahasiswa.

Antara banner  yang dipaparkan sepanjang himpunan diadakan petang ini yang menunjukkan luahan hati rakyat terhadap isu membabitkan 'Malaysian Official 1".

Suasana himpunan yang dianggarkan dihadiri seramai 2,000 penyokong ini dimeriahkan dengan nyanyian lagu semangat  ‘Ale-ale Malaysiaku’ yang diiringi gendang meriuhkan lagi suasana perhimpunan #Tangkap MO1 petang ini.  Lagu-lagu mahasiswa ini bersama rakyat berkumandang di Jalan Raja Laut berhadapan bangunan DBKL.

Pukulan gendang mengiringi laungan Ale-Ale menyemarakkan semangat  peserta dalam suasana himpunan diadakan.

Dalam ucapan mahasiswa itu,  jurucakap Gabungan # TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof menyamp aikan amanatnya dalam perhimpunan diadakan. Selain mengucapkan terima kasih kepada peserta yang hadir untuk menyokongan usaha dilakukan gabungan mahasiswa ini.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak keselamatan  terutama kehadiran seramai 600 anggota polis yang memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada semua peserta dan penganjur kali ini.

Himpunan tamat jam 4.30 petang.

 Jurucakap Gabungan # TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof ketika menyampaikan amanatnya dalam perhimpunan petang ini.