Laporan PAC, Rafizi ajak orang ramai buat laporan polis terhadap Jho Low

Laporan PAC, Rafizi ajak orang ramai buat laporan polis terhadap Jho Low

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menyeru seluruh rakyat Malaysia menyertai kempen #1MDBWanted dengan sama-sama membuat laporan polis terhadap Penasihat 1MDB, Low Taek Jho (atau lebih dikenali Jho Low) bermula minggu ini.

“Sampel laporan boleh didapati di blog saya rafiziramli.com dan selepas membuat laporan polis, sila isi borang di bit.ly/1MDBWanted untuk mengemukakan butir-butir laporan yang dibuat bagi membolehkan saya memantau berapa banyak laporan yang dibuat oleh rakyat biasa, katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Rafizi berkata salahlaku Jho Low adalah jelas berdasarkan Laporan Jawantakuasa Kira-kira Awam (PAC) mengenai 1MDB yang diperolehi dari laman web parlimen Malaysia di http://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-110-116.pdf.

Merujuk kepada mukasurat 8 hingga 14 laporan tersebut katanya, yang menghuraikan latar belakang penubuhan 1MDB dan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) iaitu bon hutang berjumlah RM5 bilion. Bon hutang RM5 bilion ini adalah hutang pertama yang diambil oleh 1MDB dan dari pengetahuan saya melalui pembacaan di media mengenai 1MDB, bon hutang RM5 bilion ini dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Intipati siasatan PAC itu menurut beliau merumuskan perkara-perkara tersebut:

1. Pengurusan 1MDB pada ketika itu telah menandatangani perjanjian program dan pengeluaran jaminan kerajaan bagi bon hutang RM5 bilion ini tanpa mengikut terma dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Terengganu) iaitu pemegang saham pada ketika itu

2. Akibat pelanggaran seperti di dalam (i) di atas, Lembaga Pengarah pada ketika itu pada 22 Mei 2009 telah meluluskan tiga resolusi yang mengarahkan penggantungan penerbitan bon hutang RM5 bilion ini sehingga beberapa langkah untuk menguatkan tatakelola dan urustadbir (“good governance”) dilaksanakan terlebih dahulu.

3. Walau bagaimana pun, pada 25 Mei 2009 iaitu tiga hari selepas resolusi mengarahkan penggantungan penerbitan bon hutang RM5 bilion dibuat, pengurusan 1MDB melanggar arahan itu dengan menandatangani Perjanjian Langganan dengan Ambank.

4. PAC telah mendapati Dato’ Shahrol Azral sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada ketika itu telah melakukan kesalahan kerana menandatangani Perjanjian Langganan Bon Hutang RM5 Bilion tanpa apa-apa kuasa yang diberikan oleh Lembaga Pengarah

5. Siasatan PAC mendapati bahawa penerbitan bon hutang RM5 bilion itu disegerakan (walaupun bertentangan dengan arahan Lembaga Pengarah) atas permintaan Penasihat Khas.

6. Salah seorang dari Penasihat Khas yang dinamakan di dalam laporan ialah seorang yang bernama Low Taek Jho (atau lebih dikenali Jho Low)

Penemuan PAC yang dimuatkan di dalam laporannya dari mukasurat 8 hingga 14 itu menunjukkan beberapa tindakan atau keputusan yang melanggar undang-undang dan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Syarikat, Akta SPRM, akta-akta berkaitan penerbitan sekuriti dan akta-akta lain.

“Saya percaya rakyat perlu mengambil tindakan dengan turut serta dalam usaha-usaha membawa mereka yang terlibat dengan 1MDB ke muka pengadilan. Setiap minggu saya akan membuat laporan polis terhadap individu-individu yang dinamakan di dalam Laporan PAC supaya satu hari nanti mereka terpaksa memikul beban tanggungjawab akibat penglibatan mereka di dalam 1MDB.

“Jika mereka tidak mahu menjadi sasaran laporan polis rakyat seperti Jho Low, lebih baik mereka tampil ke depan memberi keterangan mengenai penglibatan Dato’ Seri Najib Tun Razak secepat mungkin, katanya.

TAGS