Laporan PBB dapati Israel sengaja guna peluru hidup surai penunjuk perasaan

Laporan PBB dapati Israel sengaja guna peluru hidup surai penunjuk perasaan

Suruhanjaya Siasatan Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai protes 2018 di Semenanjung Gaza, Palestin, mendapati Israel tidak mempunyai alasan untuk menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan, lapor agensi berita Xinhua.

Israel bagaimanapun menolak laporan itu dengan mengatakan ia “berat sebelah”.

Suruhanjaya menerima mandat dari Majlis Hak Asasi Manusia pada Mei 2018 untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa ketika menyuraikan demonstrasi besar-besaran di Semenanjung Gaza pada 30 Mac 2018.

“Suruhanjaya menyiasat setiap pembunuhan yang berlaku di lokasi demonstrasi sejak bermulanya bantahan sehingga 31 Disember 2018,” dedah laporan itu.

Laporan itu mengatakan lebih 189 penduduk Palestin terbunuh dan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kira-kira 6,000 penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.

Suruhanjaya itu diketuai, Santiago Canton dari Argentina, Sara Hossain (Bangladesh) dan Betty Murungi (Kenya).

“Israel menolak sekeras-kerasnya laporan itu,” kata Duta Israel ke PBB di Geneva, Aviva Raz Shechter dalam satu kenyataan.

Raz Shechter menyifatkan laporan berkenaan sebagai “keputusan politik berat sebelah yang diputuskan sebelum siasatan bermula”.

— BERNAMA