Malaysia Dateline

Laporan penuh siasatan kes Muhammad Adib akan dibentang ke Kabinet pada September

Susulan kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mencari tahu punca kematiannya sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

Perkembangan terbaru, Laporan Penuh Jawatankuasa Khas siasatan Kes Muhammad Adib dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet pada September.

Pengerusi Jawatankuasa khas itu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia berikutan kerajaan telah pun menerima laporan penuh pada semalam, daripada jawatankuasa yang memulakan proses siasatan sejak 21 Disember tahun lepas itu.

Beliau berkata, Laporan Jawatankuasa Khas itu telah disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Ogos 2022.

“Laporan disediakan telah mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang telah dilantik dan wakil kementerian, jabatan dan agensi berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti punca kematian termasuklah sesi temu bual saksi-saksi kes, dan sesi penelitian dokumen siasatan.

Selain itu, sesi rekonstruksi kejadian juga telah diadakan dengan semua agensi berkaitan bertujuan untuk membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman litar tertutup (CCTV), rakaman-rakaman video serta keterangan daripada saksi-saksi kejadian.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan kerajaan agar laporan itu dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden tersebut.

“Kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang kembali di masa hadapan,” katanya.

Adib, mengalami cedera parah ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov 2018. Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara, pada 17 Dis 2018.

Pada 27 September 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Inkues ditubuhkan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya