Malaysia Dateline

Laporan polis dibuat ke atas Menteri tak kuarantin lepas pulang dari Turki

Pemuda AMANAH Nasional membuat satu laporan polis terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Mohd Khairuddin dikatakan berkunjung ke Turki pada 3 hingga 7 Julai lalu dan dilihat hadir ke Parlimen enam hari selepas itu yang bermaksud beliau sama sekali tidak mematuhi kuarantin wajib yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, semasa sidang Dewan Rakyat, Teresa Kok (PH-Seputeh) mendakwa ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah melanggar SOP Covid-19 kerana sepatutnya beliau perlu mengasingkan diri untuk tempoh 14 hari.

Pada semalam, dilaporkan bahawa ujian keputusan Covid-19 terhadapnya didapati negatif.

Ahli Parlimen Pas itu dikatakan telah menjalani ujian Covid-19 selama lima jam sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan didapati negatif.

Bagaimanapun, isu tersebut tetap menjadi pertikaian pelbagai pihak yang menggesa agar tindakan diambil terhadap menteri terbabit.