Laporan polis: Rafizi tidak terkejut tindakan Lembaga Tabung Haji

Naib Presiden PKR Rafizi Raml tidak terkejut dengan tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan agensi itu memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Naib Presiden PKR Rafizi Raml tidak terkejut dengan tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan agensi itu memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya.

Menurut Rafizi, sekiranya isu ditimbulkan beliau adalah fitnah dan menjatuhkan reputasi Tabung Haji, agensi itu sepatutnya mengambil tindakan saman sivil terhadap beliau di mahkamah.

“Sebaliknya, Tabung Haji membuat laporan polis dengan niat supaya saya didakwa di bawah akta jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, pendakwaan di bawah akta jenayah lebih mudah disabitkan berbanding tindakan saman di bawah undang-undang sivil yang mengambilkira haknya sebagai ahli parlimen untuk membuat komen munasabah (fair comments) atau berdasarkan maklumat yang diketahuinya (qualified privileges).

“Tambahan pula, tindakan saman oleh Tabung Haji di bawah undang-undang sivil perlu membuktikan bahawa komen-komen saya mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah berniat jahat.

“Semua pembuktian dan hak memberi komen di bawah pembelaan “fair comments” dan “qualified privileges” tidak wujud di bawah akta jenayah. Pendakwa selalunya hanya membuktikan bahawa saya telah mengeluarkan kata-kata tersebut,” ujar Ahli Parlimen Pandan ini.

Rafizi berkata, dalam beberapa kes melibatkan beliau, terdapat kecenderungan pimpinan Umno dan badan-badan kerajaan membuat laporan polis supaya beliau disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukan saman sivil.

Sehubungan itu kata Rafizi, sekiranya tuduhan beliau tidak benar dan memfitnah Tabung Haji, agensi itu wajar mengambil tindakan saman terhadapnya di mahkamah dan bukan dengan membuat laporan polis.

Semalam, Tabung Haji dalam kenyataan medianya menafikan lembaga itu memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Lembaga itu juga menyatakan telah membuat laporan polis berkaitan dakwaan dan dokumen-dokumen yang disebarkan Rafizi

TAGS