Malaysia Dateline

Laporan RSF bukti kebebasan bersuara lebih buruk di bawah Najib

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang berkata kebebasan bersuara di bawah Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding di bawah Tun Dr Mahathir sebenarnya langsung tidak bersandarkan fakta atau rujukan.

“Ia adalah kenyataan terdesak memandangkan Pakatan Harapan semakin kukuh dan bersiap sedia menghadapi PRU14. Dengan kata lain, ini hanyalah retorik politik untuk menonjolkan kesetiaan Salleh terhadap bos beliau menjelang PRU14, kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Fahmi Fadzil

Kata beliau, cukup mudah untuk mematahkan hujah Salleh. Sebagai contoh, jika kita rujuk Indeks Kebebasan Media Sedunia (World Press Freedom Index) terbitan Reporters Sans Frontier (RSF) – sebuah NGO antarabangsa yang memantau tahap kebebasan media – kita akan lihat bagaimana kebebasan bersuara dalam kalangan media di Malaysia bertambah parah di bawah Najib berbanding penghujung era pentadbiran Tun Dr Mahathir:

Tahun: Kedudukan (Skor)
2003: 104 dari 166 negara (32.00)
2004: 122 dari 167 negara (39.83)
2016: 146 dari 180 negara (46.57)
2017: 144 dari 180 negara (46.89)

(Nota: 2003 adalah tahun kedua RSF menerbitkan laporan tahunan skor dan kedudukan kebebasan media)

“Mana tidaknya, di bawah Najib, begitu banyak media cetak dan online yang telah digantung atau diharamkan termasuk The Edge, Sarawak Report, The Malaysian Insider dan Asia Sentinel. Kebanyakan media ini ditekan kerana membuat laporan tentang penyelewengan wang dari 1MDB.

“Jika dibandingkan dulu dan sekarang, malah lebih-lebih lagi sejak Salleh menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia, berapa ramai rakyat biasa yang telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah hanya kerana menulis komen atau mengkritik Najib di Facebook atau Twitter? Ini termasuklah pereka grafik Fahmi Reza, kartunis Zunar, bekas pensyarah, peniaga, pemandu lori dan begitu ramai lagi.

“Jelas, bila dibanding dulu dan sekarang, kebebasan bersuara rakyat Malaysia semakin parah kerana dihalang dari mengkritik pemimpin seperti bos Salleh,” jelas beliau.

Dalam kenyataan tersebut beliau menggesa Salleh mengurangkan aktiviti mengampu bos beliau dan berusaha lebih gigih untuk memperbaiki dan mengukuhkan kebebasan bersuara dan kebebasan media Malaysia, demi rakyat dan masa depan yang lebih baik untuk semua.