Malaysia Dateline

Laporan SPRM secara terbuka, AMK gesa Mahiaddin disiasat

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Ini berikutan menurut AMK ucapan Mahiaddin semalam yang didapati mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memberi impak negatif kepada kedaulatan undang-undang dan menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan di negara kita.

Ketua AMK Akmal Nasir berkata, Mahiaddin dengan jelasnya mengakui bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Walau bagaimanapun, katanya, Mahiaddin dalam Ucapan tersebut telah membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka untuk membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, AMK telah mengesyaki bahawa Mahiaddin telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta SPRM.

“Seksyen 21 Penyogokan pegawai badan awam: Menawarkan suapan kepada seseorang pegawai badan awam sebagai dorongan agar pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu.

“Memandangkan unsur sogokan tersebut dibuat secara langsung di televisyen, maka AMK kemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka,” katanya.

Oleh itu, AMK membuat laporan ini supaya siasatan dapat dijalankan ke atas Mahiaddin Md Yasin.