Malaysia Dateline

Laporan sudah dibuat, harap polis segera siasat Takiyuddin

Pemuda AMANAH kawasan Sungei Petani, Kedah telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda semalam mendesak pihak polis supaya menyiasat Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa menderhaka kepada Tuanku Sultan, Yang Dipertuan Agong berkaitan Ordinan Darurat yang telah ditamatkan pada 21Julai 2021.

Menurut Ahli Jawatankuasanya, Ahmad Hadi Waqiuddin Ahmad Hashril, laporan polis tersebut terpaksa dibuat setelah mendapati Takiyuddin menyatakan Ordinan-Ordinan Darurat telah ditamatkan tanpa pengetahuan Ahli Dewan dan juga Tuanku Sultan.

“Kami Pemuda AMANAH kawasan Sungei Petani mendapati Menteri Undang-Undang menderhaka kepada Tuanku Sultan setelah baginda menitahkan. supaya kesemua Ahli Dewan membahas tentang ordinan tersebut, namun begitu beliau telah mendakwa ditamatkan tanpa mendapat perkenan Tuanku Sultan.

“Sehubungan itu kami terpaksa membuat satu laporan polis keatas beliau setelah ia didapati menderhaka kepada titah Tuanku Sultan dan berharap pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap penderhakaan menteri tersebut.

” Dengan laporan polis ini Pemuda AMANAH kawasan Sungei Petani berharap siasatan dan tindakan segera dapat dilaksanakan bukan saja terhadap menteri terlibat, tetapi juga Perdana Menteri, Peguam Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya tidak ada mana-mana pihak yang sanggup menderhaka lagi kepada titah Tuanku Sultan, Yang Dipertuan Agong,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.