Malaysia Dateline

Laporan tiada respon, Pemuda Bersatu pula yang ditahan, dakwa Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak memberikan sebarang maklumbalas terhadap laporan mereka mengenai audio salahlaku Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, mereka mendakwa, pihak SPRM membuat tangkapan ke atas Pemuda Bersatu (Armada) yang didakwa terlibat dalam penyebaran audio itu.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin yang telah membuat laporan itu di Ibupejabat SPRM Putrajaya berkata, sehingga kini tidak ada sebarang maklum balas mengenai laporan beliau itu.

Laporan beliau itu disusuli dengan laporan di Pejabat SPRM Kelantan dan Kota Kinabalu oleh Pemuda AMANAH.

“Sehingga kini belum menerima apa-apa respon daripada SPRM berhubung Laporan Salah Laku Sogokan Jawatan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia,” dakwa Shazni dalam kenyataannya.

Berdasarkan prosedur SPRM, pihak SPRM perlu memaklumkan kepada pelapor setelah menerima laporan daripada pelapor, samada laporan akan diteruskan dengan siasatan, atau rujuk ke jabatan lain, atau tiada apa-apa tindakan (NFA), katanya.

“Malangnya sehingga kini tiada sebarang pemakluman daripada pihak SPRM. Persoalannya sekarang, apakah laporan yang dibuat itu langsung tidak diambil kira oleh pihak SPRM?

“Atau lebih menggusarkan, adakah status sebagai Perdana Menteri menyebabkan Tan Sri Muhyiddin kebal daripada Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009?” kata Shazni.

Lebih mengejutkan, katanya, SPRM dengan pantas membuat tangkapan terhadap pimpinan Armada Bersatu.

“Dan dijangka lebih ramai pimpinan Armada akan ditangkap selepas ini. Laporan ke atas Tan Sri Muhyiddin tiada tindakan, Armada pula yang ditangkap,” katanya.

Sehubungan itu, mereka mendesak SPRM segera memulakan siasatan terhadap Muhyiddin.

“SPRM perlu menjalankan siasatan secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Kami tidak mahu SPRM era kerajaan kleptokrat berulang kembali,” katanya.

Bagaimanapun, SPRM menjelaskan, tangkapan yang dibuat bukan berkait dengan audio itu tetapi berhubung dengan kehilangan wang ketua mereka, Syed Sadiq Abdul Rahman.