Malaysia Dateline

Laporan ke SKMM bukan satu hukuman untuk Sajat, kata Mujahid

Pertemuan yang di buat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sama sekali tidak menghalang sekiranya usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzaman mahu kembali ke jalan sebenar.

Biarpun saranan Mufti Perlis semalam agar Sajad atau Nur Sajat seharusnya dinasihati, namun menurut Mujahid, tindakan ke SKMM itu juga bukanlah satu hukuman terhadap usahawan tersebut.

Malah, beliau menasihati agar tidak membandingkan dua perkara berkenaan.

“Saya rasa benda ini ada dua perspektif. Apa yang saya sebut (laporkan ke SKMM), tidak menghalang dia (Sajat) untuk kembali ke jalan yang benar.

“Jangan kaitkan (dengan saranan untuk menasihati Sajat). Bila saya kata tentang undang-undang, jangan anggap seolah-olah kita ini hukum dia.Tidak. Itu dua benda berbeza, jangan kaitkan dan jangan buat perbandingan. Jangan laga-lagakan dua kenyataan itu dalam dua perspektif yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Pembersih Tangan Kepada Masjid-Masjid Seluruh Wilayah Persekutuan yang diadakan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, hari ini.

Dr Mujahid turut menyantuni satu keluarga pelancong asing yang hadir pada majlis diadakan itu.

Terdahulu, Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan usahawan kosmetik itu memakai pakaian menyerupai wanita adalah salah di sisi agama, namun umat Islam perlu menasihatinya.

Katanya beliau terkilan dengan tindakan orang ramai terus menghukumnya dan mengatakan bahawa Muhammad Sajad dilaknat Allah, adalah satu tindakan yang tidak tepat dari segi agama.

Sementara itu, apabila dipersoalkan sekiranya Nur Sajat akan dipanggil selepas ini untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut, Mujahid berkata, usahawan tersebut masih belum pulang dari Mekah.

“Isunya.. dia tak balik lagi..,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid yang ditemui hari ini berkata program menyerahkan pembersih tangan kepada 18 buah Masjid hari ini demi memastikan Majid yang menjadi tempat kunjungan, sentiasa dipelihara.

Katanya, edaran untuk fasa pertama ini meliputi sejumlah 159 botol pembersih tangan atau hand sanitizer (200ml), 200 botol sanitizer (50ml), dan tisu basah sebanyak 80 bungkus.

“Kita menjemput zon di dalam Wilayah Persekutuan dari zon 1 sampai zon 6 yang mewakili Masjid-Masjid di Wilayah supaya mereka edarkannya agar kita semua ambil langkah selamat supaya virus ini tak tersebar

“Jadi kita edarkan tadi mini hand sanitizer yang boleh dibawa kemana sahaja sebagai program kesedaran untuk menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang wabak virus ini menjadi perhatian dunia,” katanya.