Larang bincang isu parti di media sikap tidak terbuka, autokratik Pas

Larang bincang isu parti di media sikap tidak terbuka, autokratik Pas

Perintah larangan atau ‘gag order’ yang dikeluarkan oleh Pas hari ini terhadap ahlinya daripada membahaskan isu urusan parti di media memperlihatkan sikap tidak terbuka dan semakin cenderungnya parti tersebut ke arah autokratik.

Malah isu urusan parti Pas sudah lama dibincang dikalangan ahlinya sejak perpecahan dalaman parti tersebut sekitar 2014 lagi.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil dalam kenyataan beliau.

Ujar beliau lagi, konflik antara kumpulan konservatif dan progresif dalam Pas sudah semestinya masih segar diingatan sehingga mengakibatkan berpecahnya parti tersebut dan tertubuhnya AMANAH.

“Selepas tersingkirnya kumpulan progresif dalam Muktamar Pemilihan Pas pada 2015, kumpulan progresif akhirnya menubuhkan sebuah lagi parti Islam yang mendukung ideologi Islam yang lebih progresif sesuai dengan waqi, demografi dan politik negara ini.

“Berpecahnya Pas adalah disebabkan kumpulan konservatif mulai mengamalkan pemikiran parokialisme yang akhirnya mewujudkan kebencian dan ketaksuban melampau dalam parti.

“Mereka tidak boleh menerima perbezaan yang wujud di dalam parti dan tidak juga boleh menerima kritikan yang ditujukan kepada mereka sehinggakan wujudnya pelbagai label yang dilemparkan dan menimbulkan persepsi negatif kepada Islam itu sendiri, ” jelasnya.

Menurut Faiz lagi, Parokialisme ialah pemikiran sudut yang sempit terutamanya melibatkan diri, kawasan mahupun negara.

Tegasnya, parokialisme dalam aspek politik pula wujud apabila mereka gagal melihat politik dalam aspek yang lebih luas dan terbuka.

“Ini akan mengakibatkan mereka gagal memahami kepelbagaian yang wujud dan akhirnya muncullah sifat ketakutan dan kebencian terhadap orang yang mempunyai perbezaan dengan mereka.

“Keadaan ini turut berlaku di negara dunia ketiga seperti Afghanistan, Lubnan, Afrika Selatan, Sudan, NIgeria dan beberapa buah negara Afrika yang lain sehingga wujudnya konflik yang tidak berkesudahan.

“Mereka menganggap kaum atau kumpulan mereka berhak menguasai politik di sesebuah negara tanpa mahukan wujudnya perkongsian kuasa dengan kaum maupun kumpulan yang lain, ” jelasnya.

Oleh itu kata Faiz, rakyat perlu menilai adakah mereka mahukan parti yang membawa pemikiran parokialisme seperti Pas untuk mentadbir dan memerintah negara ini, apatah lagi mereka kini bersama dengan Umno yang jelas korup dan zalim sehingga dijatuhkan oleh

rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Sehubungan itu tambahnya, negara ini tidak harus ditadbir oleh parti yang berpaksikan ketaksuban atau ekstrim maupun kebencian sesuatu kaum sebagai asas dalam pemerintahan negara.

Beliau juga berkata, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama maka Malaysia perlu dibawa kepada poitik yang lebih segar dan adil kepada semua dan bukannya bersifat parokialisme atau perkauman.