Larangan baca doa: Polis Pulau Pinang rekod keterangan individu

Larangan baca doa: Polis Pulau Pinang rekod keterangan individu

Polis Pulau Pinang telah merekodkan keterangan daripada beberapa pihak termasuk guru berhubung dakwaan bahawa sebuah sekolah rendah di negeri ini melarang bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.Narenasagaran hari ini berkata sekurang-kurangnya enam individu telah direkodkan keterangan dan beberapa orang lagi termasuk mereka yang hadir di majlis itu akan dipanggil untuk tujuan sama membantu siasatan kes berkenaan.

“Sehingga hari ini polis telah menerima sebanyak 15 laporan polis daripada pelbagai pihak berhubung dakwaan sebuah sekolah rendah di sini melarang bacaan doa dan ketika ini kami merekodkan keterangan mereka yang hadir di majlis tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata siasatan lanjut termasuk melengkapkan kertas siasatan kes itu sedang dijalankan oleh pihak polis dan percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

“Beri ruang dan masa kepada pihak polis menjalankan siasatan lanjut kes itu dan saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut,” kata Narenasegaran.

Sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu.

Satu laporan polis diterima yang mendakwa beberapa individu hadir dalam satu majlis anugerah kecemerlangan pelajar di Sekolah Perempuan Methodist di Pulau Pinang yang menyatakan bacaan doa dalam majlis itu tidak dibenarkan. Sebaliknya, bacaan dalam bentuk kristian dibenarkan dalam majlis berkenaan.

Sehubungan itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505C Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum untuk melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan lain.

— BERNAMA