Larangan masuk ke Sarawak bercanggah undang-undang

Larangan masuk ke Sarawak bercanggah undang-undang

 

 

 

 

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Wan Anwar Wan IbrahimBiro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara  menggesa sesiapa yang dihalang daripada memasuki Negeri Sarawak sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) hendaklah mengambil butiran pegawai yang menghalang, tarikh dan jam waktu dihalang dan seterusnya membuat laporan polis, lapor kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap) dan Suhakam.

Mereka boleh  menyatakan salah laku pegawai imigresen terbabit dan Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak yang menghalang petugas pilihanraya memasuki Sarawak dan telah menyalahguna peruntukan undang-undang imigresen

Kanun memandang serius terhadap larangan untuk memasuki Sarawak bagi petugas dan pimpinan parti politik semasa musim pilihanraya negeri (PRN) Sarawak.

Ini kerana sebarang larangan untuk warganegara memasuki negeri Sarawak bagi tujuan menjalankan aktiviti politik yang sah ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63.

Di bawah peruntukan Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 yang menyatakan seperti berikut:-

Right to enter East Malaysian State for exercise of political rights.

67. Subsection 66(1) shall not have effect in relation to a citizen entering the East Malaysian State for the sole purpose of engaging in legitimate political activity; but the burden of proof that a person is entitled to enter the East Malaysian State under this section shall lie on him.

Timbalan Pengerusi Kanun, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, peruntukan seksyen ini telah dicabar beberapa kali di Mahkamah dan dalam kes Gobalakrishnan Nagapan vs Director of Immigration, Sarawak & Ors.

“Mahkamah telah mengesahkan bahawa pas atau permit tidak diperlukan jika tujuan memasuki Sarawak itu adalah atas alasan untuk menjalankan aktiviti politik yang sah.

“Namun, pihak yang ingin memasuki Sarawak perlu membuktikan bahawa tujuan kemasukan tersebut adalah untuk menjalankan aktiviti politik yang sah,” terangnya.

Wan Anwar menjelaskan Amanah telah meletakkan seramai 13 orang calon untuk bertanding di 13 Dun di Sarawak dan Amanah Sarawak juga amat memerlukan tenaga bantuan daripada petugas-petugas yang berada di luar Sarawak. Sekatan ke atas para petugas parti ini bermakna menyekat proses demokrasi daripada berjalan dengan lancar.

“Suatu saman sivil bagi menuntut gantirugi atas perlanggaran hak asasi warganegara tersebut boleh dibuat ke atas Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak.” ujarnya.

 

TAGS