Malaysia Dateline

Larangan merokok: 146,607 premis makanan diperiksa, 31,422 notis amaran dikeluarkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa dan 31,422 notis amaran telah dikeluarkan sebagai langkah penguatkuasaan pendidikan berkaitan larangan merokok di tempat makan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok, manakala 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula telah diterima semenjak Januari sehingga 3 November tahun ini. Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar terhadap larangan merokok di semua premis makanan akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan,” katanya ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Ibrahim (PH-Ledang) meminta Dr Dzulkefly (PH-Kuala Selangor) menyatakan status kempen larangan merokok di premis makan dan apakah tindakan kerajaan bagi mengawal penjualan vape atau rokok elektronik yang kini menjadi trend serta tarikan terutama melibatkan remaja dan budak sekolah.

Menjawab mengenai pengawalan penjualan vape, Dr Dzulkefly menjelaskan, pihaknya telah mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membincangkan strategi dan langkah-langkah untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape di kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

“Untuk makluman, antara langkah yang telah dijalankan oleh pihak kami ialah, aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik di kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

“Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh Malaysia pada 20 Ogos dan 31 Oktober tahun ini.

“Penguatkuasaan ini adalah menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet dan juga kedai peralatan rokok elektronik,” jelas Dr Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Strategi AMANAH.