Malaysia Dateline

Larangan merokok: Pemilik premis, individu kompaun antara RM150 sehingga RM350

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenakan kompaun antara RM250 hingga RM350 jika orang ramai masih lagi melanggar pewartawaan Larangan Merokok di Tempat Awam berkuatkuasa1 Januari 2020.

 

Dalam kenyataan dari laman sesawang Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Nor Hisham Abdullah hari ini berkata, dengan penguatkuasaan pendidikan selama  12 bulan iaitu dengan mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 lepas.

Diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

“Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 1 bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

“Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,” ujar kenyataan itu hari ini.

Di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004, semua pemilik Premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Pemilik Premis juga hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020, pemilik Premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan.

Sehubungan dengan itu, kata kenyatana itu lagi, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut.

“Semoga langkah-langkah yang telah diambil dapat membantu melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas dari sebarang bentuk amalan merokok,” ujar kenyatana itu lagi,