Larangan merokok: Ruang alternatif tetap di luar bangunan Parlimen

Larangan merokok: Ruang alternatif tetap di luar bangunan Parlimen

Penguatkuasaan larangan merokok di bangunan Parlimen akan terus dikuatkuasakan sehingga ruang untuk merokok di sediakan di luar bangunan Parlimen, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau hari ini bersama tiga lagi pegawai kanan Kementerian Kesihatan mengadakan kunjungan kunjungan hormat kepada Sepaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berhubung penguatkuasaan larangan merokok di dalam bangunan Parlimen.

“KKM telah menyampaikan pendirian bahawa pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen adalah selaras dengan Artikel 8 WHO FCTC iaitu melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Penguatkuasaan peraturan ini menunjukkan bahawa melindungi kesihatan rakyat adalah penting dan ia mesti bermula dengan institusi Parlimen.

“Sehubungan itu, KKM tidak akan menarik semula keputusan pembatalan bilik merokok di dalam bangunan Parlimen,” ujarnya dalam kenyataan petang ini.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ketua Unit Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Nor Aryana Hassan dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, hasil pertemuan itu, mesyuarat bersetuju untuk menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen sehingga satu ruang merokok alternatif tetap di luar bangunan Parlimen disediakan.

“Sementara itu dalam usaha mencapai sasaran ‘sifar rokok’ dalam bangunan Parlimen dan kafeteria di dalam premis Parlimen, KKM dengan kerjasama rakan kongsi perkhidmatan berhenti merokok mQuit akan menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok dengan menawarkan rawatan ubatan permulaan di ruang legar bangunan parlimen.

“Perkhidmatan saringan nafas CO dan fungsi paru-paru juga ditawarkan secara percuma,” ujarnya lagi.

Penguatkuasaan larangan merokok di bangunan Parlimen bermula pada Isnin lalu.

Ramai dikalangan aAnggota Dewan Rakyat membangkitkan isu bidang kuasa Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengenakan larangan merokok di parlimen.

Johari Abdul (PH-Sungai Petani) berkata menteri tiada kuasa menguatkuasakan undang-undang itu kerana parlimen berada bawah bidang kuasa speaker.

Malah larangan merokok di kawasan Parlimen yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan dicadang dikaji semula kerana dilihat bercanggah dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang berkata bahawa tidak ada mana-mana pegawai penguat kuasa boleh berlegar-legar di kawasan Parlimen mencari kesalahan wakil rakyat melainkan dengan kebenaran speaker.

Kementerian Kesihatan mewartakan kawasan Parlimen sebagai zon larangan merokok berkuat kuasa Isnin lepas dengan seorang anggota Parlimen antara lapan individu yang diberi notis kesalahan merokok di dalam bangunan tersebut.