Malaysia Dateline

Larangan merokok: ‘Winn la…tak payah bising-bising’, kata Menteri Kesihatan kepada warga emas

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memuji salah seorang warga emas pelanggan di sebuah kedai makanan yang mematuhi arahan larangan merokok yang berkuatkuasa semalam.

Beliau berkata, tindakan warga emas itu amat membanggakan, menyakinkan  ‘Malaysia Punya Harapan’  dan beliau memuat naik tangkap layar yang dihantar kepada beliau semalam.

“Baru terima WA (Whatapps) ‘snap shot’ di pagi 1hb Jan. Amat membanggakan..menyakinkan kita ‘Malaysia Punya Harapan. Perhatikan.

“Meskipun belum dapat berhenti merokok…uncle kita dalam pix (gambar) ini bersedia menghormati perlaksanaan ‘Larangan Merokok di Tempat Awam’…winn la…tak payah bising-bising,” ujarnya memuji tingdakan warga emas itu di twitter semalam.

Dalam gambar yang dihantar kepadanya itu kelihatan seorang warga emas sambil minum teh tarik dengan mengepit rokok di jarinya duduk di kerusi dalam jarak  yang ditetapkan kerajaan anggaran  3 meter dari premis itu  pada hari pertama perlaksanaan larangan merokok dikuatkuasakan kementerian kesihatan.

Status dimuat naik Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkemungkinan merujuk kepada bantahan yang dibuat oleh 7 individu pada Isnin, yang memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan menguatkuasakan larang merokok di semua premis makanan bermula semalam.

Mereka memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui pemfailan e-filing.

Mereka adalah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd. Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu, kesemua pemohon yang bertindak mewakili diri sendiri dan perokok di negara ini, menamakan Kementerian Kesihatan selaku responden.

Berdasarkan permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa larangan merokok itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan perbuatan jenayah dan sehubungan itu, perbuatan terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin Perlembagaan.

Bagaimanapun Dr Dzulkelfy dalam sidang media semalam menyatakan kementerian kesihatan bersedia berdepan dengan permohonan semakan kehakiman itu yang difailkan NGO Pertahankan Hak Perokok bagi mencabar larangan merokok di premis makanan seluruh negara yang berkuatkuasa semalam.