Larangan pekerja wanita bertudung cabuli hak wanita, kata menteri

Larangan pekerja wanita bertudung cabuli hak wanita, kata menteri

Datuk Rohani Abdul Karim

Tindakan melarang pekerja wanita Islam bertudung bertugas di bahagian hadapan sektor perhotelan merupakan satu tindakan yang mencabuli hak wanita, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata tindakan itu bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Saya amat terkejut dengan berita ini. Ini (pemakaian tudung) adalah hak wanita. Isu ini tidak pernah timbul sebelum ini.

“Kenapa ia menjadi isu di negara kita sekarang?, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Peguam Bagi Kanak-Kanak: Hak Mereka Untuk Diwakili, di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam di bahagian kaunter yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Samual Cheah Swee Hee pula berkata larangan itu diamalkan rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard yang sama bagi pemakaian uniform di semua rangkaian hotel mereka di seluruh dunia.

Rohani turut menyambut baik dan menghargai maklum balas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan arahan tersebut sebagai satu perbuatan diskriminasi dan kurang ajar.

CATEGORIES
TAGS