Malaysia Dateline

Larangan penggunaan plastik sepenuhnya perlu disegerakan

Kerajaan dicadangkan untuk mempercepatkan larangan penggunaan plastik sekali guna dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini dan bukan menunggu sehingga tahun 2030.

Anggota Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berkata larangan penggunaan plastik tersebut telah dibuktikan berjaya oleh Kenya, sebuah negara membangun yang mengharamkan pembuatan, penjualan dan penggunaan plastik.

“Sesiapa yang menggunakan plastik akan dihukum. Setahun selepas (larangan) tersebut dilaksanakan, sistem saliran menjadi lebih bersih, rantaian makanan kurang dicemari oleh sisa plastik, sampah sarap pun berjaya dikurangkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat dasar, di Dewan Rakyat. hari ini.

Tambah Charles, walaupun dasar ini dikritik kerana menjejaskan sektor perniagaan dan mengakibatkan penggangguran tapi ia hanyalah impak dalam jangka masa pendek.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok.

— BERNAMA