Malaysia Dateline

Larangan tidak mencukupi untuk kurangkan penggunaan plastik, kata PEKA

Kerajaan dan NGO perlu ‘kotorkan tangan’ dan tidak bergantung sepenuhnya kepada larangan penggunaan plastik dan straw minuman sebagai usaha mengurangkan penggunaan plastik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa pihak berkuasa turut melihat kepada sumber masalah yang melibatkan pekilang yang menghasilkan produk tidak terbiodegradasi itu.

‘’Kita tidak boleh hanya bergantung kepada larangan dan dasar bagi mengurangkan sisa kerana ia akan dilupai pada jangka masa panjang.

“Malahan, kerajaan perlu mengambil langkah penting dan siasat hingga akar umbi masalah iaitu dengan mengambil tindakan terhadap kilang yang menghasilkan produk kegunaan-sekali dan tidak terbiodegradasi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau juga berkata, dengan cara ini, plastik kegunaan-sekali tidak akan mudah diakses kepada rakyat Malaysia dan ini akan memberi faedah kepada alam sekitar.

Sementara itu, istilah “plastik kegunaan-sekali” bermaksud plastik pakai buang iaitu diguna sekali sahaja, Shariffa berkata orang ramai perlu mula mementingkan alam sekitar dengan mengguna produk yang diperbuat daripada keluli, buluh dan kertas sebagai ganti kepada plastik.

Malah Shariffa sedih dengan kenyataan bahawa meskipun ada larangan dan undang-undang namun tidak ada penguatkuasaan yang tegas berhubung produk tidak terbiodegradasi. Malah rakyat Malaysia kekal tidak menyedari akan bahayanya penggunaan plastik.

“Kerajaan perlu betul-betul beri tumpuan mengenai perkara ini secara teliti, juga daripada hanya bergantung kepada dasar ia perlu juga mendidik orang ramai mengenai pentingnya memelihara alam sekitar kita,” katanya.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Ismail dari Persatuan Alam Sekitar Malaysia, berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting meskipun pelbagai kempen di sekolah dan sektor swasta untuk mendidik mengenai bahayanya pencemaran plastik.

‘’Pengharaman penggunaan plastik kegunaan-sekali dan straw plastik tidak akan berkesan sekiranya orang ramai menyedari kesan atau sebab perlunya dasar itu.

“Kita perlu didik orang ramai. Pendidikan hendaklah sejajar dengan perkembangan semasa serta kualiti alam sekitar yang kita diami,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan straw plastik, berkuatkuasa 1 Julai ini manakala Kerajaan Negeri Perak akan menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan larangan penggunaan straw minum plastik di negeri itu.

Larangan itu adalah usaha mencapai inisiatif Pelan Tindakan Ke Arah Zero Penggunaan Sekali Plastik 2018-2030 yang dilancarkan pada akhir Oktober oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Cuaca, Yeo Bee Yin untuk membendung pencemaran plastik yang membahayakan alam sekitar.

— BERNAMA