Malaysia Dateline

Lari dari kuarantin dikompaun RM1,000

Dua beradik menjadi pesalah pertama di Kuala Pilah yang dikompaun RM1,000 mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani memberitahu mereka ditahan polis semasa melalui sekatan jalan raya di Ulu Bendul pada 10.50 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia 26 tahun itu bekerja di Singapura dan pulang ke tanah air sebelum diarahkan dikuarantin selama 14 hari di Johor Bahru.

“Bagaimanapun, dia melanggar arahan itu apabila pulang ke Negeri Sembilan dengan menaiki bas sehingga ke Seremban dengan alasan mahu melawat ibunya di Bahau.

“Abangnya berusia 29 tahun kemudian menjemput wanita berkenaan sebelum mereka ditahan,” dipetik Harian Metro hari ini.

Amran berkata, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 akta sama.

Beliau berkata, mereka dibawa ke Balai Polis Melang dan seterusnya tawaran dikompaun kesalahan RM1,000 dikeluarkan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jelasnya, wanita berkenaan seterusnya dibawa ke Institut Aminuddin Baki, Pusat Kuarantin Nilai oleh pasukan dari Pejabat Kesihatan Kuala Pilah untuk dikuarantin.