Malaysia Dateline

Laskar Siber Rosmah: ‘Umno dan korupsi macam kembar siam’

Pendedahan tentang Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan wang RM100,000 sebulan untuk membiayai laskar siber terdiri daripada blogger dan pengendali laman Facebook bukanlah satu yang mengejutkan.

Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman berpendapat jumlah wang yang dibelanjakan Rosmah sepanjang Datuk Seri Najib Razak bergelar Perdana Menteri sejak April 2009 tentunya jauh lebih besar

“Setahun sudah RM1.2 juta. Rosmah sebagai ‘first lady’ selama sembilan tahun. Bayangkan berapa banyak kos hangus?

“Itu belum kira belanja untuk pertahan-promosi Najib lagi. Entah ratusan juta ringgit lagi hangus termasuk upah perunding media antarabangsa-profesional.

“Tepat sekali kata-kata Mahathir, Najib yakin dengan cash is king,” katanya mengulas pendedahan bekas pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor di mahkamah hari ini.

Menurut Rizal, blogger Papagomo, Parpukari dan The Unspinners dibayar RM5,000 sebulan manakala beberapa individu dan pengendali laman Facebook dibayar antara RM1,500 dan RM3,000 sebulan.

Jelasnya, mereka memantau kandungan media sosial yang kritikal dan memberikan perspektif negatif terhadap Rosmah.

Kerja kotor

Mengulas lanjut, Ahmad Lutfi berkata, sebelum ini DAP dituduh mengupah tentera siber yang kononnya memfitnah dan memburukkan pemimpin Melayu Islam.

“Umno dan rasuah, korupsi macam kembar siam, tak boleh dipisah atau bercerai-tanggal. Sebab itu rejim Najib sarat dengan rasuah dan kleptokrasi yang mencuri puluhan bilion ringgit dana awam.

“Untuk tutup usaha itu, lalu dituduh umpamanya DAP upah red bean army (RBA) yang didakwa lempar fitnah untuk burukkan pemimpin Melayu Islam.

“Mereka buat kerja kotor, belanja puluhan juta ringgit, maka mereka sangka orang lain pun buat komplot macam mereka juga.

“Sehingga kini belum terdedah pun operasi RBA yang hanya ada dalam khayalan mereka,” ujar bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah itu.

Penulis buku Revolusi Tanpa Darah tersebut berkata, segala media kerajaan seperti RTM dan Bernama diperalatkan rejim BN manakala media swasta seperti Utusan, NST, TV3 dan lain-lain juga ditunggangi elit penguasa.

“Tambah teruk bila segerombolan tentera siber turut diupah lumayan guna duit yang dipersoal sumbernya untuk pertahan pemimpin yang kemudiannya diputuskan mahkamah penjenayah,” ujar aktivis memperjuangkan kebebasan akhbar melalui Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) itu lagi.