Malaysia Dateline

Latheefa berikrar Malaysia akan bebas rasuah

Latheefa Beebi Koya dalam mesej pertama sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  hari ini berikrar menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Pelantikannya yang mendapat reaksi bercampur-campur sejak pengumuman Selasa lalu, tidak mengelak daripada berdepan kontroversi dihadapinya.

“Sudah banyak pendapat yang dikeluarkan sejak pelantikan saya diumumkan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak
mengapa.

“Tugas saya jelas, iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu berkata, dengan sokongan rakyat dan pegawai SPRM, Malaysia boleh berubah menjadi sebuah masyarakat bebas rasuah.

Katanya, beliau akan melihat kepada langkah jangka panjang untuk mewujudkan budaya tidak bertoleransi terhadap rasuah, melalui pendidikan.

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.

“Dengan pertolongan Allah, saya berharap untuk berjaya dalam tugas saya ini.”

Kontrak perkhidmatan Latheefa selama 2 tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya yang sepatutnya tamat 17 Mei 2020, dipendekkan.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau yang memutuskan pelantikan Latheefa selepas beberapa menterinya dilaporkan berkata, Kabinet tidak pernah membincangkan perkara itu.

Katanya, ia sejajar peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik ketua SPRM atas nasihat perdana menteri.

Ada pengkritik mempersoalkan pelantikan Latheefa yang berlawanan manifesto pilihan raya umum ke-14 Pakatan Harapan bagi memastikan semak dan imbang serta ketelusan pelantikan jawatan awam dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.