Malaysia Dateline

Laungan ‘Malu apa bossku’, ‘Allahuakhbar’ pecah suasana penyokong BN

Laungan ‘Malu apa boss ku’ nyanyian lagu ‘Inilah Barisan Kita’ dan laungan ‘Allahuakbar’ memecah suana penyokong Barisan Nasional (BN) di perkarangan Pusat Penamaan Calon Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai hari ini.

Lebih daripada 200 penyokong BN memenuhi perkarangan pusat penamaan calon tanpa kelihatan penyokong Pas, rakan Ta’awun BN.

Pimpinan BN sedang menunggu proses penamaan calon di khemah khas yang disediakan

Tepat jam 9.00 pagi calon BN Wee Jeck Seng hadir diiringi Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Wee Ka Seong. Turut bersama Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien serta  Presidn MIC Tan Sri S. Vigneswaran

Pas diwakili Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Idris Ahmad.

Beberapa pimpinan Pakatan Harapan antaranya Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad yang juga Menteri Wilayah Persekutuan kelihatan hadir di khemah BN, bersalaman dengan Najib Tun Razak

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula hari ini dengan proses penamaan calon pada pukul 9 pagi.

Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini menjadi lokasi pusat penamaan calon bagi PRK kesembilan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Pertanian Industri Asas Tani dan Exco Kerajaan Johor Aminolhuda Hassan turut bersalaman dengan pimpinan BN

Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calonnya untuk mempertahankan kerusi tersebut manakala Barisan Nasional (BN) pula akan mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, sebagai ‘ayam tambatan’ mereka.

Selain dua parti ini, turut dijangka mengetengahkan calonnya adalah Gerakan, bekas parti komponen BN, yang telah mengumumkan untuk keluar parti sejurus kekalahan BN pada PRU14.

Calon pilihan Gerakan ialah seorang peguam dan akauntan bertauliah yang juga Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38 tahun.

PRK kali ini juga nampaknya menarik kerana Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) juga sudah mengesahkan semalam untuk meletakkan calon iaitu Presidennya sendiri, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Turut dijangka bertanding adalah seorang calon Bebas yang mewakili Gabungan Teksi Semalaysia (GTSM) Datuk Shamsubahrin Ismail.

PRK Tanjung Piai setakat ini akan menyaksikan berlakunya pertanding empat penjuru.