Malaysia Dateline

Laungan MN hanya pada nama bukan pada semangatnya, kata Khaled

Keputusan Pas untuk memilih Perikatan Nasional (PN) daripada mengutamakan Muafakat Nasional (MN) hanya wujud pada nama sahaja tetapi tidak pada semangatnya, demikian menurut Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

Katanya, laungan MN demi perpaduan ummah hanyalah sebagai halwa telinga hakikatnya Pas lebih mengutamakan pelbagai kepentingan lain.

Beliau berkata demikian berikutan Pas telah memilih PN malah Pas juga menetapkan setiap ahlinya akan mengundi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Susulan keputusan Pas itu, Umno menerima tetapan Pas itu dengan berlapang dada selain menegaskan pendiriannya untuk bertanding atas tiket BN secara sendirian.

Menurut Khaled, Umno tegas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu bukan kerana ia membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu.

Tetapi, katanya kerana Bersatu itu ‘dibidani’ kelahirannya untuk mengganti Umno dan secara terang dan jelas Besatu adalah seteru Umno.

“PAS wajar mengerti kedudukan ini.

“Kerana itu Umno tidak memerlukan Pas untuk mendamaikan ia dengan Bersatu.

“Seperti Umno juga tidak pernah mengusahakan damai antara Pas dan AMANAH demi kepentingan ummah kerana Umno tahu sejarah keduanya,” kata beliau.

Bahkan katanya, Pas tidak boleh mengikat Umno dengan MN dan pada masa yang sama mendambakan PN.

Justeru Khaled berpandangan Pas wajar terus bersama PN kerana Pas tidak boleh terus keliru dengan apa yang Pas kehendaki.

Khaled turut membidas Pas bahawa dalam politik, tiada parti yang patut mencari keuntungan dari pelbagai pihak, dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa.

Bagaimanapun katanya keputusan PAS itu sebenarnya memberikan Umno ruang dan peluang untuk kembali kepada BN yang sederhana, multicultural dan progresif sekali gus BN tidak lagi terbelenggu dengan sesiapa, bebas mencorakkan jalan kehadapanya.

“Kerana Umno sedar, jalan kemenangan ialah sokongan semua kaum dan bukan hanya Melayu. Kerjasama parti Melayu bukan satu-satunya jalan untuk menguasai kerajaan.

“Dalam politik yang telah sangat ‘disruptive’, kemenangan akan banyak bergantung kepada tawaran dasar yang lebih baik, kepimpinan yang lebih dinamik, rencana ekonomi yang lebih lestari dan rencam generasi muda yang mesti difahami.

“Jika hanya mencongak jumlah undi Umno, Pas dan Bersatu itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangatlah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik.

“Kerana rumitnya politik itulah, maka BN adalah taruhan terbaik Umno untuk Malaysia. Yang lain hanya sampingan,” ujarnya lagi.