Malaysia Dateline

Laungan “Pakatan Harapan” bergema dalam dewan

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah memulakan ucapannya dengan mengajak semua perwakilan di dalam dewan melaungkan slogan “Pakatan Harapan” sebanyak tiga kali untuk melambangkan betapa mantapnya perjuangan Pakatan Harapan dalam Konvensyen Pakatan Harapan kali kedua diadakan hari ini.

Bagi pihak ahli jawantankuasa konvensyen hari ini, Saifuddin mengimbas kenangan dua tahun lalu ketika PKR, DAP dan AMANAH menubuhkan Pakatan Harapan kemudian menerima kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk gabungan Pakatan Harapan yang kini disertai empat parti PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah menyampaikan ucapan alu-aluan di Konvensyen PH di Shah Alam pagi ini.

“Hari ini Pakatan Harapan merupakan gabungan parti-parti politik pembangkang terbesar di Malaysia yang betul-betul serius kerana mendaftar walaupun belum diluluskan.

“Inilah gabungan parti pembangkang yang paling serius bekerja dalam sejarah pembangkang.

“Sudah menubuhkan Majlis Presiden, sayap Pemuda dan Wanita dalam Pakatan Harapan. Ini termasuk penganjuran Konvensyen Wanita Pakatan Harapan dan Konvenysen Pemuda Pakatan Harapan semalam,” ujarnya dalam ucapan pembukaannya hari ini.

Hari ini berlangsung Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC di Shah Alam.

Beliau memberitahu, Pakatan Harapan sudahpun ditubuhkan di peringkat negeri termasuk Sabah dan Sarawak begitu juga menubuhkan di Pakatan Harapan di kawasan Parlimen.

“Kita adalah ‘Pakatan of equal partner’. Tidak ada parti dominan, tidak ada ‘big brother’.

“Terdapat 14 pengerusi Pakatan Harapan negeri, kita sebolehnya saksama.

“Mereka berwang kita berjuang. Mereka ramai kita sebantal mimpi lain-lain. Kita ramai tidak tidur sebaliknya kita bangkit dengan suara rakyat,” ujarnya yang merujuk kepada kepimpinan Umno-BN.

Katanya lagi, pengisian konvensyen kali ini akan membahaskan mengenai isu rakyat, dasar dan manifesto Pakatan Harapan yang akan diumumkan berperingkat.

“Matlamat untuk membentuk Malaysia lebih baik dengan teras dan prinsip keadilan, amanah, perpaduan, tadbir urus baik dan sebagainya.

“Konvensyen ini tempat kita meletak kerja untuk memenangi pilihan raya umum ke-14. Konvensyen ini akan banyak pidato dan akan berakhir dengan keputusan besar, kita cuba buat keputusan yang ideal dalam suasana yang tidak ideal.

“Tetapi percayalah sebaik mana keputusan yang diumumkan hari ini yang menentukan kejayaan kita bukan membabitkan kepimpinan utama, tetapi semua jentera Pakatan Harpaan,” ujarya sambil melaungkan sekali lagi Pakatan Harapan bagi mengakhiri ucapannya.

Turut hadir hari ini semua kepimpinan tertinggi parti-parti gabungan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presdien Pakatan Harapan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan-timbalan Presiden PH dan kepimpinan Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan di setiap negeri.