Malaysia Dateline

Laungan “Reformasi” sambut Azmin di majlis makan malam WKB2030

Kehadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang tidak hadir pada hari penutup Kongres PKR di Melaka hari ini dan beberapa orang pimpinan parti yang sehaluannya di majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) disambut dengan laungan “Reformasi”.

Majlis berkenaan yang diadakan di Hotel Renaisance, Kuala Lumpur petang tadi turut dihadiri Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Ali Baju, Tian CHua, Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha, Timbalan Ketua AMK Hilman Idham, Amirudin Shaari Sivarasa Rasiah, dan beberapa orang yang lain.

Laungan “Reformasi” daripada lebih seribu penyokong bergema di ruang legar hotel berkenaan sebaik Azmin masuk ke ruang berkenaan kira-kira pukul 5.40 petang untuk majlis berkenaan, lapor The Star Online.

Tian Chua yang sebelumnya di “boo” sewaktu kongres parti berkenaan kerana mengingatkan ahli parti agar tidak terlalu taksub mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selepas ini turut diberi sambutan hangat.

PKR dilanda ribut akibat pertelagahan dalaman antara puak yang memihak kepada Anwar dan Azmin sejak beberapa bulan kebelakangan.

Sabtu lalu, kira-kira 100 orang ahli PKR memprotes dengan keluar dewan dengan dakwaan bahawa ucapan daripada perwakilan pada kongress berkenaan mengkritik Azmin.

Pada Jumaat (6 Dis) dua individu cedera dan dua lagi ditahan berikutan pergelutan ketika kongres sayap parti berkenaan iaitu AMK dan Wanita, yang telah menyebabkan pergaduhan melibatkan lebih 50 individu.