Malaysia Dateline

Lawan Covid-19 dengan kredibiliti

Pernah seketika kita berbangga dengan kejayaan Malaysia menentang wabak Covid-19. Kisah bagaimana seorang pesakit Muslim memegang tangan seorang doktor Cina untuk mendoakan agar beliau dilindungi Allah daripada Covid-19 cukup terharu buat satu Malaysia.

Adegan bagaimana sesetengah komuniti secara sukarela menjahit alat perlindungan diri (PPE) untuk dibekalkan kepada pengamal perubatan di barisan depan, menafsirkan makna “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dalam alam realiti. Tiada slogan dilaungkan, tanpa lagu patriotik didendang, hati dan jiwa rakyat Malaysia dipaut bersama.

Malah, penampilan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah ketika itu menjadi tonggak keyakinan satu Malaysia, tatkala negara kita menyaksikan drama pergolakan politik pada saat-saat kita dilanda krisis.

Untuk saya, apa yang paling bermakna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) bukan penonjolan Dr.Noor Hisham sebagai ikon wira Malaysia, tetapi beliau bersama pasukan pengamal perubatan berjaya menyanggah imej stereotaip bahawa penjawat awam tidak berkecekapan, dan sekadar makan gaji buta.

Jelas, tanpa “penjawat awam” ini, mustahil Malaysia menangkis gelombang pertama dan kedua wabak Covid-19, sebelum September 2020. Prestasi unggul penjawat awam KKM bukan sahaja memberi tamparan kepada mereka yang menyimpan prejudis terhadap kakitangan kerajaan, malah menawan hati rakyat dengan sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan.

Pengalaman ini dicungkil semula bukan untuk bernostalgia, tetapi untuk renungan mengapa kejayaan ini gagal diulangi ketika kita ditimpa gelombang ketiga Covid-19.

Mesej yang sama diulangi Ketua Pengarah yang sama, tetapi dibalas dengan reaksi yang berbeza. Persoalannya, apakah yang menyebabkan masyarakat kita lebih cepat membiasakan diri dengan lonjakan angka dari ratusan kepada ribuan kes sehari, berbanding menyesuaikan diri dengan norma baharu – sehingga kita menjadi lalai, malah bersikap acuh tak acuh terhadap situasi yang sudah melewati paras genting?

Kewibawaan Dr Noor Hisham akan semakin terhakis jika gagal berbuat apa-apa terhadap menteri.

Saya tidak berniat untuk mempolitikkan usaha pembanterasan wabak Covid-19, maka saya tidak akan melontarkan andaian bahawa ianya akan lebih berkesan seandainya dipimpin Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, saya agak pasti bahawa kesilapan akan tetap berlaku di sini sana, jikalau PH masih berkuasa sebagai kerajaan persekutuan sehingga hari ini.
Malah, PH akan berdepan dengan dilema yang sama, ketika mencari keseimbangan antara pelaksanaan PKP yang ketat sehingga membunuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan memberi kelonggaran untuk aktiviti ekonomi tetapi mengorbankan keberkesanan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Di sini letaknya kepentingan kredibiliti sesebuah kerajaan. Rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan sedang membuat satu keputusan demi kepentingan seluruh negara, sungguhpun keputusan itu tidak menguntungkan kelompok tertentu dalam jangka pendek.

Selain bantuan dana yang dihulurkan untuk mengurangkan impak terhadap kelompok yang dimangsakan, kerajaan juga wajar dilihat bersungguh-sungguh untuk menjayakan matlamat yang disasarkan.

Sepanjang pengamatan saya, pelaksanaan semula PKPB di Lembah Klang pada pertengahan Oktober 2020 setelah menyaksikan peningkatan kes mendadak diterima baik masyarakat umum.

Namun, PKPB yang agak longgar ini jelas tidak berkesan untuk menyekat penularan wabak Covid-19, apatah lagi ia dilonggarkan untuk merentasi negeri pada 6 Disember 2020, tatkala statistik masih memperlihatkan pola peningkatan.

Asas logik meramalkan bahawa mustahil angka ini diturunkan dengan langkah baharu ini. Namun pada masa yang sama, kita menjangkakan PKPB akan dilanjutkan selagi tiada penurunan angka kes positif.

Di sini rakyat mula keluar beramai-ramai. Jalan raya mula sesak. Kedai mamak penuh dengan asap rokok yang berkepul-kepul. Restoran dan kafe sarat dengan ketawa yang terbahak-bahak.

Barangkali ia dibaca sebagai petanda “rakyat sudah pasrah dalam usaha melawan Covid-19”, tetapi pada masa yang sama, rakyat sebenarnya tidak tahan lagi untuk terus dikurung dalam rumah.

Dari satu sudut, rakyat tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, kerana pengurungan untuk jangka yang terlalu panjang, bahkan tanpa penghujung, memberi kesan besar dalam sosial.

Setelah hampir setahun kita berperang dengan Covid-19, akhirnya kita terpaksa belajar untuk hidup bersamanya. Kawalan pergerakan yang ketat bukan sahaja membunuh mata pencarian golongan berpendapatan rendah, tetapi juga mengundang kesan dari segi sosial, psikologi dan sebagainya.

Bayangkan kes keganasan keluarga, bunuh diri lantaran kemurungan dan sebagainya yang berlaku sepanjang PKP – sudah tentu kita perlukan jalan keluar, atau setidak-tidaknya, keluar berjalan-jalan.

Lebih-lebih lagi, kerajaan tidak memperlihatkan pelan yang jelas dalam usaha melawan Covid-19. Anggota kerajaan sama ada menteri, timbalan menteri, mahupun menteri besar, ketua menteri di peringkat negeri, tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk bersama melawan Covid-19.

Bayangkan, setelah sekian lama telefon pintar kita dilambak dengan mesej KKM tentang cara pemakaian pelitup muka yang betul, masih terdapat pemimpin kerajaan yang melondehkan hidungnya ketika memakai pelitup muka, atau menarik pelitup muka ke bahagian dagu ketika berucap mahupun makan? Bukankah itu satu kegagalan besar, sama ada untuk KKM ataupun menteri yang terbabit?

Itupun belum lagi “double standard” yang diamalkan ketika menghukum mereka yang melakukan kesilapan, antara rakyat biasa, dengan anggota kerajaan. Hud-hud masih bebas dengan hanya kompaun RM1,000, sedangkan ada yang dipenjara untuk kesalahan yang sama.

Anggota kerajaan terus ke sana ke sini, sungguhpun beberapa orang menteri telah dijangkiti Covid-19. Menteri tetap bergambar tanpa pelitup untuk menutup hidungnya yang tinggi dan mulutnya yang gelojoh, bahkan melanggar SOP yang ditetapkan sendiri.

Izinkan saya petik kesimpulan Bloomberg’s Covid Resilience Ranking (https://www.bloomberg.com/graphics/covid-resilience-ranking/) yang disiarkan pada November 2020.

Antaranya, kunci kejayaan melawan Covid-19 bukan bergantung kepada sejauh manakah rakyat mematuhi perintah, tetapi lebih kepada sejauh manakah kejayaan kerajaan memupuk kredibiliti dan pematuhan masyarakat.

Ambil contoh New Zealand, Menteri Kesihatannya, David Clark terpaksa meletakkan jawatan setelah dikecam kerana melanggar perintah berkurung.
Kesilapan itu gagal ditebus hanya dengan menderma gaji empat bulan. Ini teladan rakyat yang bermaruah, dan pemimpin yang tahu malu. Hakikatnya, New Zealand berada di kedudukan teratas dalam usaha menentang Covid-19.

Jikalau dibandingkan dengan New Zealand, kita akan sedar bahawa Dr Noor Hisham diletakkan pada kedudukan yang kekok untuk terus berwibawa. Rakyat akan tertanya-tanya mengapa menteri dibenarkan merentas negeri, sedangkan rakyat terus dikurung dalam rumah.

Apatah lagi, pemimpin politik semakin dituding jari kerana aktiviti keramaian yang dianjurkan, mendedahkan rakyat kepada risiko jangkitan Covid-19, dan mengeruhkan lagi situasi. Kewibawaan Dr Noor Hisham semakin terhakis, seandainya pesanannya hanya ditujukan kepada rakyat, dan gagal berbuat apa-apa terhadap menteri.

Di sini kita diperlihatkan bagaimana kerajaan yang hilang kredibiliti, bukan sahaja menjejaskan usaha menentang wabak Covid-19, malah menjadi penghalang dalam proses pembinaan negara.

Petugas barisan depan semakin letih dibebankan kerja yang melambak lantaran peningkatan kes yang mendadak, maka kualiti perkhidmatannya semakin menurun.

Apabila situasi ini berlaku, prejudis masyarakat terhadap penjawat awam kembali menebal. Kita hampir boleh bayangkan apa yang berlaku seterusnya.

Mungkin ramai menganggap “kredibiliti” kerajaan sebagai sesuatu yang abstrak – sesuatu yang gagal dipegang. Namun, untuk melawan virus yang gagal dikesan mata kasar, benda abstrak inilah menjadi senjata yang lebih mujarab berbanding air suam.