Malaysia Dateline

Lawan sikap suka tanam kebencian, tonjolkan nilai Rahmatan Lil Alamin

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad menyeru orang ramai agar membanteras sikap gemar menyemai kebencian bertopengkan agama dengan menonjolkan nilai Rahmatan Lil Alamin.

Menteri Wilayah Persekutuan tersebut berkata, sikap ekstremis pembangkang termasuk menyebarkan fitnah hanya akan memburukkan imej Islam sebagai agama yang menekankan sifat kasih sayang.

“Sikap suka menanamkan kebencian dan bergaduh dengan tuduhan-tuduhan liar dan tidak berasas, inilah kita kena lawan supaya mesej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin itu dapat ditonjolkan.

“Inilah sifat Islam. Orang Islam yang tidak faham sifat Islam ini sebagai rahmat, bagaimana mereka boleh menghayati ajaran Islam?” bidasnya dalam slot Bicara YB Khalid Samad menerusi saluran Jom Channel malam tadi.

Mengulas soalan moderator tentang dakwaan AMANAH sebagai benteng DAP selain membela Lim Guan Eng, beliau berkata, fitnah itu dilemparkan oleh pihak yang sejak awal tidak berpuas hati dengan tindakan sebahagian pimpinan Pas pada 2015 meninggalkan parti tersebut.

“Biasanya ia dilemparkan oleh mereka yang marah kerana kita keluar dari Pas lalu dituduh dibiayai oleh DAP, DAP rancang kita keluar tubuh parti AMANAH dan pelbagai (tohmahan) lagi.

“Mereka ini saya hairan, cakap saja tidak takut kata-katanya itu satu pembohongan dan fitnah.

“Dia ingat dia bersama Pas maka apa saja yang dibuat untuk Islam kononnya dan halal baginya,” tempelak Khalid yang juga adalah Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan syukur kerana AMANAH berjuang membanteras fahaman melampau.

“Alhamdulillah, AMANAH menentang pemikiran ekstremis ala IS yang dibawa oleh sebahagian golongan masyarakat Melayu Islam yang tidak boleh terima Umno dan Pas bukan kerajaan.

“Bagi mereka, ini semua musuh Islam dan cara nak hadapi keadaan ini ialah tanamkan kebencian terhadap Pakatan Harapan (PH) dengan cara yang terbaik jadikan DAP dan AMANAH sebagai sasaran,” ujarnya.

Dalam program bual bicara dengan tajuk ‘Guang Eng – Darah halal?’ itu, Khalid memberitahu tajuk tersebut dipilih berdasarkan satu poster yang pernah tular sebelum ini.

“Tajuk ini timbul kerana ada tular satu poster kata darah Guan Eng halal, musuh Islam nombor satu dan sebagainya.

“Mereka ini mempergunakan Islam untuk kepentingan politik dan golongan mereka. Walhal, dalam masa sama mereka merosakkan imej Islam itu sendiri dan beri gambaran Islam kaki gaduh.

“AMANAH oleh sebab kita sayang Islam maka kita keluar membantah sikap-sikap yang ekstremis seperti ini.

“Sudahlah kebanyakan negara Islam dalam keadaan perang, tidak aman. Mereka malangnya terperangkap dalam strategi Zionis dan Amerika Syarikat yang mahu menjadikan umat Islam ini kelihatan sentiasa bergaduh,” tegas Khalid lagi.