Lawat Tembok Besar China Kuantan jadi agenda besar PH

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Forum Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) yang dihadiri pimpinan utama Pakatan Harapan mengambil keputusan untuk mengadakan himpunan di perkarangan “Tembok Besar China Kuantan”.

Ia bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pelaburan yang tidak jelas China ke negara ini dan disifatkan mengambil kesempatan dari masalah yang sedang dihadapi oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sedia terima pelaburan asing dari mana-mana negara sahaja tetapi tidak sampai mengganggu kedaulatan negara kita,” kata Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut serta dalam forum itu.

Tembok Besar China Kuantan adalah tembok yang dibina setinggi lapan kaki sebagai pagar kepada kira-kira 1,200 ekar tanah untuk projek fasa satu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Ia terletak di Gebeng, kira-kira 25 KM dari bandar Kuantan.

Bagi penduduk tempatan, tembok itu digelar sebagai “Tembok Besar China Kuantan.”

Tiada apa yang luar biasa dengan tembok itu, tetapi tujuannya untuk memisahkan mereka yang di dalam dengan dunia luar.

Ia juga sekali gus mencetuskan spekulasi di kalangan masyarakat setempat.

Mahathir yang pernah sampai ke situ dan membuat video klip mengenainya mendakwa pelaburan asing seperti MCKIP tidak menguntungkan sedikit pun rakyat tempatan kerana kontraktor dan pekerja terbabit dibawa masuk dari China.

Salah seorang penonton forum mencadangkan agar Tembok Besar China Kuantan dilawati.

Dalam forum malam tadi, Mahathir berkata, beliau juga ingin tahu apa yang ada dalam tembok itu.

“Saya nak tahu juga, apa yang ada kat dalamnya. Ada balai polis kita ke tidak. Jika apa-apa yang berlaku di dalam sana, siapa yang menyiasatnya,” kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas cadangan perhimpunan itu dalam forum malam tadi.

Selain Mahathir, turut menjadi penal adalah Mohamad Sabu, Hishamudin Rais, Howard Lee (Adun DAP), Faiz Fadzil dan Sivarasa Rasiah (MP Subang).

Aktivis sosial Hishamudin Rais memulakan cadangan agar pelaburan China ke negara ini dikaji kerana banyak keburukan yang telah berlaku termasuk pengalaman di beberapa negara Afrika.

Dr Mahathir bersetuju, cara pelaburan ini tidak kena dan merugikan Malaysia dengan mengambil contoh Forest City di Johor dan MCKIP di Kuantan.

Forest City, katanya, dijual dengan harga yang mahal sehingga orang tempatan tidak mampu beli dan diberikan pelepasan cukai sehingga 10 tahun pula kepada pembeli dari China.

Mohamad Sabu turut menyokong agar bantahan dibuat di jalan raya terhadap masalah ini.

“Pengalaman kita, kerajaan BN tidak akan bergoncang setakat perbincangan dalam bilik seminar, konvensyen dan sebagainya.

“Hanya dengan turun ke jalan raya kita boleh berjaya menarik minat. Ia berlaku sebelum PRU 1999, 2008 dan juga 2013 yang lalu,” katanya.

Ekoran itu seorang penonton bangkit mencadangkan Tembok Besar China Kuantan ini dilawati beramai-ramai dengan diketuai sendiri oleh Mahathir.

Cadangan itu kemudiannya setuju dijadikan aktiviti perhimpunan besar-besaran Pakatan Harapan menjelang PRU 14 ini.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS