Malaysia Dateline

Lawatan delegasi Iran ke Parlimen tidak sentuh soal agama

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan lawatan delegasi Iran ke Bangunan Parlimen, baru-baru tidak menyentuh soal agama termasuk fahaman Syiah.

Beliau menjelaskan, lawatan tersebut adalah kunjungan biasa sama seperti delegasi-delegasi negara lain yang hadir ke Parlimen sebelum ini.

“Kami cuma mengadakan perbincangan biasa seperti menceritakan tentang konsep berparlimen di negara kita termasuk perkara teknikal.

“Sekali lagi saya jelaskan, dalam perjumpaan itu, kami tidak membincangkan tentang fahaman agama,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, di Parlimen, pada Selasa.

Semalam  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa lawatan delegasi Iran ke Parlimen, baru-baru ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, sekiranya ada pengikut ajaran Syiah datang ke Bangunan Parlimen bertujuan mengadakan lawatan, ianya dilihat bukan satu masalah.

Ini susulan di, Facebook Gerakan Anti Syiah Malaysia memuat naik empat keping gambar Delegasi Iran melawat Bangunan Parlimen beserta kapsyen ‘Semakin rancak Syiah sampai singgah masuk Parlimen’.

Hasil carian di Instagram ‘parlimenmalaysia’, pula, gambar yang sama juga dimuat naik dengan kapsyen, Kunjungan Hormat ke atas DatukMohamad Ariff Md Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat oleh HE Ahmad Salek, Head of Delegation of Cultural Affairs Committee, Islamic Consultative Assembly of The Islamic of Iran di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat.