Lawatan ke China: Kejayaan atau sebaliknya?

Tun Dr Mahathir membawa mesej jelas ke negara China selepas mengambilalih kerajaan dari Najib.

Apakah lawatan Tun Dr Mahathir ke China membawa untung atau sebalik? Bagi penganalisis Malaysia Dateline, NIK LUQMAN WAN ZAINODDIN, mesej Malaysia telah disampaikan dengan baik kepada China.

Sejurus selepas delegasi negara yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menamatkan lawatan rasmi ke China baru-baru ini, rakyat Malaysia telah disajikan dengan pelbagai pandangan berkenaan lawatan rasmi tersebut.

Sesetengah pihak berpendapat lawatan tersebut sebagai sebuah kejayaan bagi negara, manakala ada juga sesetengah pihak beranggapan sebaliknya.

Walaubagaimanapun, di sebalik kemelut pertikaian kejayaan lawatan oleh Perdana Menteri Malaysia itu, masih tidak ramai dapat melihat bahawa lawatan tersebut, bukan hanya memberi impak signifikan kepada negara, malah rantau dan juga dunia. Mengapa?

Sosok tubuh pemimpin negara yang berusia 93 tahun ini, seringkali terkenal dengan kewibawaannya serta ketelusannya dalam menyuarakan pendapat di peringkat antarabangsa.

Tun Mahathir akan menyatakan yang benar, walaupun pahit – tidak kira kepada sesiapa. Sebagai contoh, Tun Mahathir pernah menyuarakan bahawa Amerika Syarikat tidak seharusnya melakukan pengeboman di rantau Asia Barat, kerana bagi beliau, keamanan dan kesejahteraan harus dipelihara.

Malah, sejarah negara juga mencatatkan Tun Mahathir pernah menyatakan pendirian tegas kepada kerajaan British, terutamanya melalui dasar “Buy British Last”.

Secara tuntasnya, jelas sekali, keberanian Tun Mahathir untuk bersuara, walaupun kepada negara berkuasa besar – tidak luntur dan masih konsisten sehingga kini.

Hal ini dapat dilihat melalui hubungan Malaysia dan China mutakhir ini.

Negara China ketika ini sedang membangun untuk menjadi sebuah negara berkuasa besar, selepas Amerika Syarikat. Ekonomi China dijangka akan melepasi kekuatan ekonomi Amerika Syarikat dalam beberapa dekad lagi.

Oleh itu, tidak pelik jika kerajaan Malaysia terdahulu amat rapat dengan China demi mengaut hasil keuntungan ekonomi. Tetapi malangnya, kerajaan terdahulu mengambil perjanjian yang berat sebelah dan tidak menguntungkan rakyat Malaysia.

Malah sebelum Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7, Tun Mahathir sudah lantang bersuara tentang perjanjian berat sebelah ini.

Berdasarkan bacaan strategik Tun Mahathir, rakyat Malaysia berpotensi untuk menanggung kerugian besar, berbanding keuntungan.

Tun Mahathir juga, dengan gaya yang bersahaja tetapi tegas, menyuarakan tentang kebimbangan aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan, serta peperangan dagang atau “Trade War” antara China dan Amerika Syarikat – yang jelas tidak akan menguntungkan masyarakat global.

Tetapi, walaupun Tun Mahathir amat jelas lantang bersuara – nada Tun Mahathir, terutamanya ketika lawatan beliau ke negara China baru-baru ini, seolah-olah berubah.

Tun Mahathir menyatakan bahawa beliau berharap China akan ‘bersimpati’ kepada keadaan ekonomi Malaysia dan berharap China akan menunaikan hasrat Malaysia untuk membatalkan beberapa projek mega China di Malaysia.

Tidak dinafikan lagi, kenyataan ini seolah-olah menunjukkan bahawa Tun Mahathir mengharapkan belas kasihan dan simpati China, di dalam konteks sebuah negara kecil dan negara besar.

Jika ini dibaca dan difahami sekali imbas, mungkin benar.

Tetapi, kenyataan Tun Mahathir ini mempunyai maksud tersirat. Ia bertujuan untuk menutup ruang kepada China untuk mengambil kesempatan kepada Malaysia.

Mengapa? Kerana jika China tidak ‘bersimpati’ kepada Malaysia, ini akan menghantar mesej bahawa pada era dimana China sebagai kuasa besar di peringkat antarabangsa, China akan terus memperjuangkan kepentingannya keatas negara-negara kecil.

Ini akan memberi gambaran kurang baik kepada China, terutamanya apabila China sekarang sedang melobi negara-negara membangun untuk bersamanya melalui “Belt and Road Initiative”.

Sekaligus, kedudukan antarabangsa China mungkin akan terjejas. Dan ini akan memberi impak signifikan kepada negara, malah rantau dan juga dunia.

Oleh itu, walaupun ketika ini hangat diperdebatkan bahawa adakah lawatan negara ke China baru-baru ini ialah sebuah kejayaan atau sebaliknya, tetapi ramai tidak menafikan bahawa Tun Mahathir telah berjaya menyatakan pendirian Malaysia dengan jelas, seiring dengan strategi diplomasi yang tuntas, demi kelangsungan negara daripada dihimpit kuasa besar.

 

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS