Lawatan ke China, misi yang pasti buat PM

Tun Dr Mahathir pernah bertemu dengan President Xi Jinping met di Kuala Lumpur Oktober 2013 lalu.

Kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China Ogos ini sangat penting namun bakal berhadapan dengan pelbagai rintangan dan isu.

Ia dilakukan sejurus selepas lawatan Tun Daim Zainudin, pengerusi Council of Eminent Persons (CEP) ke China yang telah bertemu dengan pimpinan negara tersebut untuk menyampaikan surat rasmi Perdana Menteri.

Malah, bagi jangka masa kini hingga lawatan Tun Dr. Mahathir nanti, delegasi China turut berada di Kuala Lumpur bagi perbincangan, serta Menteri Luar China Wang Yi dijangka akan singgah di Kuala Lumpur dan bertemu Tun Dr. Mahathir minggu hadapan, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk menghadiri mesyuarat ASEAN.

Tidak dinafikan bahawa hubungan Malaysia dan China bersifat dinamik terutamanya apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan pada tarikh 9 Mei 2018 yang bersejarah.

Jika kerajaan dahulu amat mesra dengan China kerana projek-projek mega, tetapi kerajaan baharu sebaliknya mengambil pendirian bahawa segala perjanjian berat sebelah perlu dirunding semula supaya manfaat boleh sampai secara terus yang tidak membebankan rakyat Malaysia.

Tetapi misi negara kali ini mungkin sukar dan terdapat beberapa sebab utama mengapa.

Pertama, China merupakan antara kuasa dunia besar, selain daripada Amerika Syarikat. Dalam erti kata lain, China mempunyai kuasa ekonomi, ketenteraan serta politik yang kuat. Manakala, Malaysia sebagai sebuah negara kecil berbanding China, mungkin sukar untuk menyatakan pendirian yang tegas yang mungkin tidak sehaluan dengan China.

Kedua, samada suka atau tidak, China akan sentiasa berada dirantau ini dan dalam beberapa tempoh masa akan datang, China akan memainkan peranan yang lebih besar dalam politik antarabangsa. Oleh itu, amat penting untuk Malaysia mempunyai strategi yang tuntas dalam melakukan engagement dengan China.

Ketiga, sejak beberapa tahun lepas, China telah melancarkan konsep Belt and Road Initiative (BRI) dimana ramai melihat konsep ini sebagai cubaan China untuk memperluaskan pengaruhnya.
Tetapi apa yang merisaukan ialah konsep ini mungkin akan mengikat negara-negara yang telah menerima pinjaman berbentuk dana dari China – dimana Malaysia juga turut tidak terkecuali seperti projek East Coast Rail Link (ECRL). Sri Lanka sebagai contoh, terpaksa memberikan Hambantota Port kepada China selama 99 tahun kerana kegagalan untuk membayar hutang kepada China.

Keempat, China pada hari ini kelihatan tegas berkenaan isu kedaulatannya yang memberi kesan negatif kepada Malaysia terutamanya di Laut China Selatan – dimana China telah menyatakan bahawa di kawasan tersebut adalah miliknya berdasarkan 9 garis putus (9 dash line).

Apa yang paling membimbangkan ialah China turut telah membina beberapa pulau buatan dan telah menempatkan beberapa pangkalan ketenteraan. Malah rekod menunjukkan bahawa beberapa nelayan di kawasan sekitar telah dikasari oleh Coast Guard China kerana didakwa telah memasuki kawasan berdaulat China tanpa izin.

Kesan secara tidak langsung kepada negara ialah Malaysia merupakan negara dagang. Malaysia sedikit sebanyak bergantung kepada laluan laut untuk berdagang.

Berdasarkan data daripada United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), Laut Cina Selatan merupakan 1/3 laluan dagang dunia. Oleh itu, jika China berkeras untuk menguasai Laut China Selatan, ianya mungkin akan memberikan kesan kepada Malaysia.

Walaubagaimanapun, misi ini tidak mustahil. Mengapa?

Pertama, sejarah membuktikan bahawa negara kita mewarisi sifat diplomasi yang baik. Sebagai contoh, Melaka pernah mempunyai hubungan baik dengan Maharaja Cina.

Manakala Tun Razak, Perdana Menteri Kedua, merupakan pemimpin di rantau yang terawal untuk menjalinkan hubungan akrab dengan China – dimana pada ketika itu banyak negara bersifat hostile terhadap China.

Kedua, faktor ketokohan Tun Dr. Mahathir juga memainkan peranan yang penting. Segenap rantau dan hampir seluruh dunia mengagumi dan menghormati beliau.

Saat Tun Dr. Mahathir memimpin Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya baru-baru ini, pemimpin Brunei dan Singapura telah datang ke Malaysia untuk bertemu beliau.

Malah, lawatan Tun Dr. Mahathir ke Indonesia baru-baru ini juga menyaksikan Presiden Jokowi sendiri telah menyambut beliau di lapangan terbang – ianya satu penghormatan besar.

Perkara yang sama juga ketika lawatan ke Jepun dimana Perdana Menteri Shinzo Abe telah memberi penghormatan yang tinggi kepada beliau dan negara.

Ketiga, disaat konsep BRI China menghadapi kegusaran dirantau ini, ada kemungkinan bahawa permintaan Malaysia untuk merunding perjanjian dapat dipertimbangkan secara serius – walaupun sejauh mana permintaan tersebut diterima masih tidak pasti.

Hal ini kerana China sedar akan keperluan untuk memastikan keberlangsungan projek BRI di Malaysia. China juga turut akan mengambil kira kedudukan strategik Malaysia dirantau ini – serta hubungan yang sekian lama terjalin turut memainkan peranan penting.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0