Malaysia Dateline

Lawatan keluarga,rakan golf Najib tular

Raja Salman Abdul Aziz (dua dari kiri) dan Datuk Seri Mohd Najib Razak  ketika menyambut Raja Arab Saudi itu dalam lawatan kerja baginda ke Malaysia pada 2017 lalu.

Lawatan kerja lima hari Najib Razak ke Arab Saudi mulai 8 Januari lalu menyaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan Presiden Umno berkenaan antara yang turut sama menyertai rombongan itu.

Ibunya, Tun Rahah Mohammad Noah berada di kedudukan ketiga selepas isteri Najib, Rosmah Mansor dalam senarai 20 ahli rombongan itu yang kemudiannya tular di media sosial hari ini.

Selain adiknya, Nizam dan Nazim, anak Najib iaitu Nor Ashman dan Riza Aziz serta anak perempuan mereka Nooryana Najwa juga menyertai ‘lawatan keluarga’ tersebut.

Menantu Najib iaitu Danniyar Kessikbayev dan cucu, Adam Razak Daniyar turut menyertai lawatan hingga 12 Januari itu.

Skandal kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini mengaitkan nama Riza iaitu anak tiri Najib dalam saman sivil pelucutan hak oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Pada masa sama, terdapat empat lagi nama sebagai “tetamu perdana menteri” juga menyertai rombongan tersebut iaitu Bustari Yusof, Johrah Abdul Rahman dan Nazir Hussin Akthar Hussin.

Bustari merupakan ahli perniagaan Sarawak yang juga abang kepada Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof dan pernah dilapor sebagai kenalan rapat Najib dan rakan golf Pengerusi BN itu.

Bustari juga pemilik syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd yang terbabit dengan projek Lebuh raya Pan Borneo mencecah RM27 bilion selain BYU Holdings Sdn Bhd dan One Medicare Sdn Bhd.

Sementara itu, Nazir Hussin pula merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang sebelum ini menggerakkan program karnival kerjaya BN Youth Job Fair.

Nazir yang pernah dilapor portal pro BN sebagai antara nama Pemuda Umno yang mendapat perhatian Najib itu dikatakan bergelar jutawan sejak umurnya 20-an lagi.

Turut bersama lawatan Najib itu Amirul Rahman Abdul Rahim yang merupakan Pengarah Eksekutif BEWG (M) Sdn Bhd dan Loyal BEWG Sdn Bhd dan dilapor pernah terlibat dalam projek loji rawatan kumbahan Pantai 2 di Pantai Dalam, Kuala Lumpur bernilai RM983 juta.

Umrah 

Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri hari ini memberitahu kos lawatan adik-adik dan kenalan Najib itu ditanggung oleh mereka sendiri.

“Hanya Tun Rahah yang turut bersama Datuk Seri Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi,” dipetik daripada kenyataan itu.

Jelas Pejabat Perdana Menteri, Najib berhasrat untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja itu bersama ahli keluarga dan kenalan-kenalannya itu.

“Nama-nama mereka ini telah dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan YAB Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi bagi program ibadah umrah.

“YAB Perdana Menteri dan ahli rombongan juga telah diberi taraf tetamu negara oleh kerajaan Arab Saudi,” kata kenyataan itu lagi.

Turut disenaraikan adalah Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod; Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Khairil Annas Jusoh dan Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa, Datuk Ahmad Faisal Muhammad.

Rombongan itu termasuk doktor peribadi kepada Najib, Dr Azhari Rosman;  Aide-de-camp (ADC) kepada Perdana Menteri, ACP Mohd Yusri Hassan Basri dan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Ahmad Fitri Ali.