Malaysia Dateline

Lawatan kerja Muhyiddin ke Vienna sertai Sidang Suruhanjaya Dadah Narkotik kali ke-62

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin  Mohd Yassin,  akan mengadakan lawatan kerja ke Vienna, Austria sempena menghadiri Sidang Suruhanjaya Dadah Narkotik kali ke-62 yang bermula esok sehingga 16 Mac 2019 di Pusat Antarabangsa Vienna, Vienna, Austria.

Menerusi kenyataan di kementerian itu sidang Suruhanjaya Dadah Narkotik diadakan setiap tahun bertujuan untuk membincangkan hala tuju serta dasar-dasar program Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Urusan Dadah dan Jenayah berkaitan permasalahan dadah, mempertingkatkan peranan Suruhanjaya Dadah Narkotik dan memperkasakan program-program antidadah di peringkat antarabangsa.

Segmen Menteri bagi Sidang Suruhanjaya Dadah Narkotik diadakan selang 5 tahun sekali atau apabila dirasakan perlu oleh negara-negara ahli.

Pada tahun ini, Segmen Menteri akan diadakan semasa bagi membolehkan perbincangan hala tuju isu-isu dasar dadah sedunia di peringkat tertinggi untuk dilaksanakan oleh masyarakat sedunia.

Kata kenyataan itu, isu-isu yang akan dibincangkan merangkumi pelaksanaan ketiga-tiga perjanjian antarabangsa berkaitan dadah dan pelaksanaan Deklarasi Politik dan Pelan Tindakan bagi Kerjasama Antarabangsa Ke Arah Strategi yang Bersepadu dan Seimbang Dalam Menangani Masalah Dadah Sedunia Tahun 2009, termasuk tindakan negara-negara dalam bidang pengurangan bekalan dadah, pengurangan permintaan dadah dan kerjasama antarabangsa.

Difahamkan Muhyiddin turuut akan menyampaikan satu kenyataan Negara semasa Sidang tersebut berlansung bagi mengenengahkan pendirian negara dan ASEAN yang mengutamakan keseimbangan dalam pendekatan pengurangan bekalan dan permintaan dadah dengan mengambil kira keunikan sosial dan budaya negara masing-masing.

Ini penting agar pendirian Malaysia diambil kira dalam penentuan hala tuju sedunia bagi menghadapi masalah dadah.

Satu sesi perbincangan meja bulat peringkat Menteri-Menteri yang interaktif bagi memberi pandangan-pandangan dalam penentuan dasar dadah sedunia.

Selain menghadiri Sidang Suruhanjaya Dadah Narkotik kali ke-62, Menteri Dalam Negeri akan mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Urusan Dadah dan Jenayah dan Menteri Dalam Negeri Austria, bagi menjalinkan hubungan kerjasama dalam pelbagai isu di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Satu sesi dialog juga akan diadakan bagi berinteraksi dengan rakyat Malaysia di Vienna dan membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, kata kenyataan itu hari ini.