Lawatan Khalid ke Taman Rimba Kiara, semalam untuk melihat kawasan projek

Lawatan Khalid ke Taman Rimba Kiara, semalam untuk melihat kawasan projek
Khalid Abdul Samad mendengar aduan penduduk ketika beliau mengadakan lawatan di Taman Rimba Kiara semalam.

Lawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ke Taman Rimba Kiara semalam, sebenarnya bukan bertujuan untuk bertemu dengan penduduk rumah panjang di situ.

Sebaliknya, Setiausaha Akhbar beliau, Zulkifli Sulong menerusi satu kenyataan hari ini, menjelaskan lawatan itu dilakukan bagi melihat kawasan yang bakal dibangunkan.

Katanya, lawatan itu diaturkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) atas permintaan Menteri Wilayah itu sendiri yang juga pengerusi YWP.

“Bagaimanapun, selepas mendapat tahu YB Menteri (Khalid Samad) datang ke situ, beberapa penduduk datang berjumpa beliau dan meluahkan kebimbangan mereka terhadap kelewatan projek berkenaan.

Khalid dan pegawainya melihat peta kawasan pembangunan Taman Rimba Kiara bersebelahan rumah panjang yang sudah berumur 38 tahun.

“YB Khalid meminta mereka bersabar supaya perkara itu dirujuk kepada kabinet untuk diselesaikan.

“Penduduk merayu kepada beliau supaya memberi keutamaan kepada nasib mereka dalam usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaaan kerana mereka telah tinggal di situ selama 38 tahun (yang sepatutnya kediaman transit sahaja sebelum rumah mereka siap dibina)

“Sebagai tindak balas kepada aduan penduduk di situ, YB Khalid menjelaskan, beliau sentiasa memberi keutamaan kepada nasib mereka dan akan berusaha sebaik mungkin untuk melihat perkara ini selesai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, YWP juga telah menunjukkan kepada pengerusinya mengenai pelan cadangan dan tapak tanah yang dikembalikan kepada taman dan yang akan digunakan utk perumahan mampu milik dan kawasan yang akan digunakan untuk membangunkan 4 blok kondominium.

Katanya, dalam saiz yang sudah dikurangkan, iaitu daripada 12 ekar, hanya 6 ekar yang akan digunakan untuk membangunkan kondominium.

“4 ekar akan dikembalikan ke taman, dan baki 2 ekar akan menempatkan rumah mampu milik untuk penduduk rumah panjang dan kuil mereka.

“Dalam saiz yang sudah dikurangkan itu, ia akan menghasilkan taman yang mempunyai 17 ekar dengan semua kemudahan awam tidak diganggu.

“Pemaju juga telah berjanji untuk menaik taraf dan menstabilkan kawasan taman seluas 17 hektar untuk memastikan ia dapat menyediakan kawasan yang mesra pengguna.

“Pengurusan YWP bersama dengan pemaju juga telah menerangkan kepada YB Khalid bahawa kesan pengurangan skala projek ini akan menyebabkan sumber pendapatan dari projek ini akan menurun.

“Bagaimanapun, mereka mahu meneruskan projek ini demi memastikan isu penduduk rumah panjang dapat diselesaikan,” katanya.