
Lawatan Menteri Pertahanan, kukuhkan kerjasama Malaysia-Perancis
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membuat lawatan rasmi pertamanya ke Perancis bermula pada 16 Jun lalu untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-Perancis dalam sektor pertahanan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, Mohamad telah menghadiri Pameran Udara Paris ke – 53, yang dianjurkan oleh SIAE, anak syarikat GIFAS, Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis, pada 17 hingga 18 Jun.
Katanya, pameran tersebut telah berjaya membawa bersama para pemain industri aeroangkasa global untuk berkumpul di bawah satu bumbung dalam mempamerkan teknologi inovatif mereka.
“Memimpin delegasi Malaysia, Mohamad mengadakan beberapa mesyuarat dengan pegawai dan wakil dari sektor pertahanan Perancis untuk membincangkan kerjasama dan mencari peluang kerjasama antara Malaysia dan Perancis.
“Dalam Pameran Udara tersebut, beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya, iaitu Menteri Pertahanan Itali, Dr. Elisabetta Trenta.
“Kedua-dua pihak telah mengesahkan semula komitmen mereka untuk terus mempertingkat kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Itali dan keperluan untuk meneroka bidang kepentingan bersama seperti penyelidikan dan pembangunan dalam pertahanan,”katanya.
Tambah kenyataan itu, mereka juga menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai Keselamatan Siber dan Kerjasama ICT antara Leonardo MW Ltd dan Sapura Secure Technologies.
Katanya, kehadiran Mohamad di Pameran Udara Paris ke-53 menonjolkan hubungan sedia ada yang ketara antara Malaysia dan Perancis, khususnya dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan.
“Pada masa yang sama, lawatan rasmi membuka jalan untuk lebih banyak peluang kerjasama untuk kedua-dua negara dalam sektor pertahanan,” ujarnya.