Lawatan Najib Ke AS cetus banyak persoalan, kata MP

Lawatan Najib Ke AS cetus banyak persoalan, kata MP

Delegasi Malaysia ke Amerika Syarikat yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menimbulkan banyak persoalan, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah.

Beliau berkata kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa tiada pelaburan dimeterai dalam lawatan delegasi itu sangat mengejutkan.

Menurutnya, Mustapa juga menyatakan lawatan tersebut adalah untuk meningkatkan profil dan persoalannya adakah profil negara atau profil Najib.

“Saya terkejut dengan kenyataan tersebut kerana saya mendengar sendiri video Datuk Seri Najib menyatakan Malaysia ingin membantu ekonomi Amerika Syarikat termasuk membuat pelaburan berharga lebih daripada AS$4 bilion melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional.

“Sekarang Datuk Seri Mustapa pula berkata tidak ada perjanjian pelaburan dibuat. Adakah ini bermakna perdana menteri hanya ingin ambil hati Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas sebab tertentu? Adakah ini ada kaitan dengan siasatan DOJ ke atas 1MDB?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada perjanjian pelaburan dimeterai tidak menghairankan kerana Trump mungkin mencurigai sumber kewangan pelaburan yang dinyatakan.

“Siapakah yang boleh percaya dan berani menerima wang dari MO1 yang sedang disiasat di Amerika dan Pengerusi 1MDB ini juga sedang disiasat lebih 7 negara di seluruh dunia.

“Amerika tidak mahu terpalit dengan skandal kewangan terbesar dunia hari ini. Inilah Perdana Malaysia yang dijauhi oleh pelbagai pihak di dunia hari ini,” katanya yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.

Justeru beliau mempersoal mengapa rakyat Malaysia perlu membayar penginapan mahal di hotel Trump International dan kos penerbangan yang mahal untuk sandiwara kosong yang sia-sia ini.

“Najib tidak di jemput secara rasmi kerana tiada sambutan permaidani merah dan hotel telah dibayar dengan duit rakyat Malaysia.

“Tidak hairanlah pertanyaan Ketua Pembangkang Wan Azizah tentang perbelanjaan Najib ke Amerika yang sia-sia itu telah ditolak oleh Speaker Parlimen di hari pertama persidangan,” katanya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote