Lawatan Najib, Zahid bukti Anwar bukan penjenayah, kata Khalid Samad

Lawatan Najib, Zahid bukti Anwar bukan penjenayah, kata Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional Khalid Samad berkata, lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini membuktikan bahawa Anwar bukan seorang ‘penjenayah’.

Beliau kata Khalid, merupakan tahanan politik yang terus berpengaruh walaupun telah difitnah, dizalimi dan dipenjarakan oleh pimpinan Umno yang berkuasa.

“Kekuasaan mereka terjejas oleh insan agung yang dizalimi mereka sehingga terpaksa datang menziarahi beliau. Diambilnya gambar bersama dan ditularnya mengharapkan simpati pada ketika diasak,” tulis Khalid dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Kata beliau lagi, mana mungkin ‘penjenayah’ yang melakukan jenayah yang keji akan diberikan layanan sedemikian rupa.

“Mustahil ia berlaku. Tetapi mereka datang melawatnya kerana mereka sendiri tahu DSAI mangsa keganasan politik mereka.

“DSAI seorang pejuang rakyat berjiwa besar dan walaupun lawatan mereka tidak diundang namun tidak juga disambut dengan cacian dan kata-kata nista,” katanya.

Kata Khalid lagi, DSAI tahu mainan mereka dan dia tahu juga akan kebijaksanaan rakyat jelata.

“Rakyat akan melihatnya sebagai petanda awal kemenangan DSAI apabila sang penguasa datang mengadap bakal PM Malaysia,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Anwar kini masih dirawat di HKL setelah menjalani pembedahan bahu kanan yang sakit akibat satu kemalangan sewaktu menaiki kenderaan penjara di Sungai Buloh pada September lalu.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0