Lawatan PM Anwar ke Qatar berjaya jana potensi eksport bernilai RM700 juta – Tengku Zafrul

Oleh MAISARAH AISYA

Lawatan yang dibuat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mana negara sekalipun bukanlah sekadar kosong tapi membawa pulangan.

Terbaru Anwar membuat lawatan singkat ke Qatar dan berjaya menjana potensi eksport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM700 juta.

Memetik Bernama, perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul memaklumkan komitmen eksport itu diterima daripada pelbagai pemimpin utama industri Qatar semasa mesyuarat meja bulat perniagaan bersama Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, kita terima komitmen (eksport) berjumlah RM700 juta. Ia sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat Qatar terhadap produk dan perkhidmatan kita. 

“Selain itu, kita juga lihat potensi Asia Barat, yang merupakan satu pasaran besar buat Malaysia yang kita boleh teroka,” kata Tengku Zafrul seperti dipetik Bernama.

Media melaporkan seramai 45 pemimpin terkemuka industri Qatar daripada 36 syarikat menghadiri mesyuarat meja bulat itu.

Pemimpin tersebut mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan, farmaseutikal, bahan binaan, hartanah dan pembinaan, pendidikan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan, kewangan, penerbangan, runcit/pengedaran dan ekonomi digital.

Semasa dialog meja bulat itu, Anwar, mengulangi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Qatar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

Menteri Kewangan tersebut berkata aya tarikan menarik Malaysia dengan sistem infrastruktur yang kukuh, kedaulatan undang-undang, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih.

Pelaksanaan projek berdisiplin dan ekosistem perniagaan yang rancak menjadikan ia destinasi menarik bagi pelabur yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan strategik mereka bagi pasaran Asia.

Ini juga untuk meraih peluang pertumbuhan baharu dan kepelbagaian.

Dalam mesyuarat tersebut, pelabur dan pengimport sedia ada juga menyatakan penghargaan mereka atas usaha Malaysia dalam mewujudkan persekitaran yang memudahkan pelaburan dan pertumbuhan perniagaan.

Perbincangan itu menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Qatar untuk meneroka ruang baharu kerjasama, dengan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua ekonomi.

Baca juga: Anwar jumpa Ismail Haniyeh di Qatar, hargai kesediaan Hamas bebaskan tahanan