Lawatan rasmi TPM ke Thailand kukuhkan lagi kesinambungan hubungan dua hala, kata Duta Malaysia

Lawatan rasmi TPM ke Thailand kukuhkan lagi kesinambungan hubungan dua hala, kata Duta Malaysia

Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Thailand bermula hari ini dijangka mengukuhkan lagi kesinambungan hubungan dan kerjasama dua hala dengan Thailand dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata lawatan dua hari itu adalah yang pertama sejak Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei lepas.

Menurut beliau, lawatan itu juga mempamerkan keazaman dan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mengangkat hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia dengan negara-negara jiran, terutamanya Thailand, ke tahap yang lebih tinggi dan strategik.

“Kerajaan Malaysia sedar akan pelbagai potensi yang boleh diterokai dengan lebih lanjut dan mendalam di antara kedua-dua buah negara. Potensi penuh ini secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan tahap kekuatan dan kerjasama ekonomi bagi rantau Asia Tenggara di bawah kerjasama Asean dan bagi Malaysia dan Thailand secara khususnya,” katanya kepada media Malaysia di Bangkok semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri Luar Senator Datuk Marzuki Yahya, serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Luar (KLN), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), dan Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Agenda utama Dr Wan Azizah pada hari pertama lawatan beliau ialah melawat Rumah Kanak-kanak Palang Merah Thailand di sini, untuk melihat kemudahan dan sistem penjagaan kanak-kanak yang kurang bernasib baik yang diuruskan Persatuan Palang Merah Thailand.

Pada sebelah petang pula, Dr Wan Azizah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha di Rumah Kerajaan dan seterusnya mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Chatchai Sarikulya di lokasi sama.

Antara isu yang dijangka dibincangkan ialah perkembangan isu-isu dan kerjasama dua hala yang telah dipersetujui antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha pada hujung tahun lepas, serta meneroka lebih lanjut potensi kerjasama di dalam bidang-bidang yang boleh memanfaatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Antara fokus utama sempena lawatan ini ialah bidang pertanian dan perindustrian. Timbalan Perdana Menteri juga akan mengambil peluang untuk bertukar pandangan dengan rakan sejawat beliau berhubung isu-isu pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, serta melihat bagaimana kedua-dua buah negara boleh belajar daripada satu sama lain dan berkongsi amalan terbaik dalam aspek pembangunan dan keselamatan sosial.

“Perkongsian ini boleh membuka lebih banyak peluang kerjasama antara institusi dan organisasi sosial di Malaysia dan Thailand, dan dapat menambah baik pendekatan dan polisi berkaitan hal ehwal sosial kedua-dua buah negara melalui perkongsian amalan terbaik,” katanya.

Pada sebelah malam pula, beliau akan menghadiri majlis Makan Malam Rasmi yang akan dihoskan Sarikulya.

Pada hari kedua lawatan, Dr Wan Azizah dijadual menghadiri majlis pelancaran maya bagi merasmikan pembukaan loji rawatan air hasil usaha sama antara Syarikat Ranhill (Malaysia) dan Syarikat Amata Water Company Limited (Thailand), dinamakan ‘7 MLD Reclamation Water Treatment Plant’, yang berlangsung di Amata City Industrial Estate, Wilayah Rayong.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan Meja Bulat Perniagaan bersama ahli perniagaan Thailand di bawah Persekutuan Industri Thailand (FTI).

Menurut Samuel, sesi perjumpaan dengan FTI, sebuah badan perniagaan yang mewakili industri-industri penting di Thailand, akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mendengar dan berbincang dengan sektor swasta Thailand berhubung langkah dan strategi untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Dr Wan Azizah juga akan melawat Agriculture Benchmarking di Or Tor Kor, atau Organisasi Pemasaran Petani-Petani Thailand dan beliau dijangka diberi taklimat oleh pegawai Kementerian Pertanian Thailand berhubung pengurusan organisasi berkenaan, serta mengadakan lawatan tapak bagi melihat aktiviti-aktiviti pengedaran, perniagaan dan sebagainya bagi produk-produk pertanian di negara itu.

Dr Wan Azizah juga akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di negara itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.

Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan yang baik dari segi ekonomi dan perdagangan dengan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand bagi tempoh Januari-November 2018 merekodkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus dengan jumlah RM96.78 bilion (US$24.06 bilion) berbanding RM90.55 billion (US$20.98 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun 2017.

Bagi tempoh yang sama (Januari-November 2018), jumlah eksport meningkat sebanyak 5.7 peratus dengan jumlah US$13.01 bilion berbanding US$10.77 bilion, manakala jumlah import meningkat sebanyak 5.5 peratus dengan jumlah US$11.05 bilion berbanding US$10.21 bilion bagi tempoh yang sama pada 2017.

Sementara itu, imbangan perdagangan sejak beberapa tahun lepas memihak kepada Malaysia, yang berjumlah RM2.36 bilion (US$0.59 bilion) pada 2017.

Bagi tahun 2017 dan 2018, Thailand kekal sebagai rakan dagang kelima terbesar Malaysia di dunia selepas China, Singapura, Amerika Syarikat serta Jepun, dan kedua terbesar di ASEAN selepas Singapura manakala, Malaysia juga kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar Thailand di dunia dan yang terbesar di Asean

Dr Wan Azizah juga dijangka menyampaikan sokongan terhadap Thailand yang menduduki kerusi Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’.- BERNAMA