Malaysia Dateline

Layan debat Nik Zawawi hanya buang masa, kata Fuziah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh berpendapat pelawaan Pas untuk berdebat bersama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mengenai fatwa ‘Wajib jatuhkan PH’ sebagai perkara yang sia-sia.

Beliau berkata, adalah lebih penting untuk kementerian sekarang ini fokus kepada perkara yang memberi faedah kepada rakyat, berbanding melayani pelawaan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh untuk berdebat.

Menurutnya, tiada faedah untuk berhujah dan berdebat atas sesuatu yang akhirnya tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Pada saya tak payah lah berhujah atas sesuatu yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Kalau nak bahas berkenaan dengan bagaimana kita nak meningkatkan sosio ekonomi umat islam, itu kita boleh bincang panjang lebar.

“Debat untuk menegakkan perspektif mereka ini, pada saya hanya buang masa. Yang lebih penting ialah kita buat kerja dan fokus kepada manfaat yang kita boleh beri untuk ummah.

“Tapi saya tak kata tak setuju. Ia terserah kepada Yb menteri (untuk buat keputusan), tapi kalau pada saya, ia bazir masa. Itu fatwa yang mereka buat, saya rasa tak ada point pun nak pertahankan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline selepas Majlis Penyampaian Bantuan Jemaah Haji, di Masjid Jamek Alam Shah, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail; Pengerusi Masjid Jamek Alam Shah, Syed Amru Syed Abdullah.

Baru-baru ini, Nik Zawawi menarik perhatian umum selepas mengeluarkan kenyataan ‘wajib menjatuhkan kerajaan PH’ pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, sehingga di cabar pendakwah bebas untuk membicarakan kewajaran ucapannya.

Sehari selepas menolak tawaran individu yang dianggapnya tidak setaraf untuk bersemuka, anggota parlimen Pasir Puteh itu hari ini ‘mempelawa’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof untuk duduk sepentas dengan beliau.

Dalam kenyataan dibuatnya, Nik Zawawi juga menganggap Mujahd sebagai “sahabat karib” beliau dan mengajak anggota parlimen Parit Buntar itu berdialog, bukannya berdebat.