Layanan buruk pihak Pusat, kurang sumber asli tidak halang Pulau Pinang menyerlah

Layanan buruk pihak Pusat, kurang sumber asli tidak halang Pulau Pinang menyerlah

Dengan prestasi urus tadbir yang baik, Pulau Pinang telah berjaya mencapai pembangunan yang menyerlah walaupun tidak mempunyai sumber semula jadi dan ketandusan peruntukan sewajarnya dari Kerajaan Persekutuan.

“Pulau Pinang telah berjaya membina bakat sumber manusia serta bersandarkan kepada sektor swasta dan masyarakat madani dalam rangka kerja Perkongsian Kerjasama Awam-Swasta atau Public-Private Partnership (PPP),” kata Ketua Menteri Pulai Pinang, Lim Guan Eng semasa berucap di majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang semalam.

Dengan peruntukan wang modal atau pembiayaan penuh projek/inisiatif oleh Kerajaan Negeri katanya, sektor swasta diberi peluang melaburkan dana atau kepakaran dalam projek berkepentingan awam yang boleh menjanakan pembangunan mampan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menurutnya, akan meneruskan usaha untuk mentransformasikan Pulau Pinang kepada negeri bertaraf antarabangsa dan pintar, yang merupakan lokasi pilihan bagi pelabur, destinasi pilihan bagi pelancong dan habitat pilihan untuk didiami kepada mereka yang mahukan kehidupan yang mampan.

“Pulau Pinang telah merekodkan pelaburan sebanyak RM8.2 bilion pada 2014, peningkatan sebanyak 110% berbanding RM3.9 bilion pada 2013.

“Bagi tempoh 8 tahun di antara 2008 – 2015, Pulau Pinang mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM55 bilion, peningkatan sebanyak 90% berbanding tempoh 8 tahun di antara 2000 – 2007 iaitu sebanyak RM29 bilion,” katanya.

Beliau yakin pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan memberi fokus untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai model urus tadbir yang baik dan kepimpinan yang bersih untuk membangunkan Pulau Pinang agar menjadi sebuah negeri keusahawanan dan berkebajikan yang bersih, cekap, akauntabel dan telus.

Kebelakangan ini katanya terdapat kebimbangan mengenai berlakunya penutupan kilang-kilang di negeri ini.

“Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa fenomena tersebut berlaku berikutan penstrukturan semula industri elektronik sejagat.

“Di sebalik perkembangan tersebut, permintaan untuk pembukaan kilang baharu masih rancak di Negeri Pulau Pinang.

“Ini membuka peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat dan seterusnya menjadikan Pulau Pinang negeri yang mencatatkan kadar pengangguran terendah di Malaysia, iaitu 1.5% sahaja,” katanya.