Layanan China terhadap Uighur: komuniti Islam-Turki di Jerman anjur bantahan

Layanan China terhadap Uighur: komuniti Islam-Turki di Jerman anjur bantahan

Islamic Community National View (IGMG), satu daripada pertubuhan terbesar Islam-Turki di Jerman, merancang mengadakan bantahan awal bulan depan berhubung isu layanan China terhadap masyarakat Uighur, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan pengerusi IGMG pada Rabu.

IGMG akan mengadakan bantahan pada 2 Feb di 20 bandar dalam 13 negara dengan membaca satu kenyataan di depan kedutaan dan konsulat China, kata Kemal Ergun.

Kumpulan itu dijangka membantah dasar China yang menjejaskan kehidupan masyarakat Uighur di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang — juga dirujuk sebagai Turkistan Timur — dan melahirkan solidariti bersama mereka, kata Ergun.

Dalam satu kenyataan bertulis, beliau berkata China telah mencabul undang-undang hak asasi manusia antarabangsa apabila memaksa masyarakat Uighur meninggalkan agama dan budaya mereka, selain memisahkan anggota keluarga etnik itu di kem latihan.

“Komuniti antarabangsa perlu mengambil tindakan terhadap penindasan yang dilakukan oleh China. Hak asasi manusia tidak boleh dikorbankan demi menjaga hubungan ekonomi,” kata Ergun yang melahirkan kekecewaan terhadap sikap komuniti antarabangsa yang mendiamkan diri dalam isu itu.

Dalam mesyuarat pada Ogos lepas di Geneva, Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum berkata anggota masyarakat Uighur di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang yang didakwa memiliki “pandangan keagamaan yang utuh” dan idea “politik yang salah” telah dipenjarakan atau ditahan di “kem pendidikan semula” politik.

Wakil badan PBB itu berkata sehingga 3 juta orang telah ditahan tanpa perbicaraan.

Badan pemantau Human Rights Watch sebelum ini telah mengumumkan bahawa kerajaan China menjalankan satu kempen besar-besaran secara sistematik dalam melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat Turki Islam di Xinjiang.

— BERNAMA