Malaysia Dateline

LBS Bina sasar jualan RM1.5 bilion pada 2019

Pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd menyasarkan untuk meraih jualan bernilai RM1.5 bilion pada tahun ini, rendah sedikit daripada RM1.526 bilion dicatatkan pada 2018, kata Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Lim Hock San.

Beliau berkata sasaran itu realisitik dengan mengambil kira landskap industri itu yang kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan sentimen berhati-hati yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi perlahan.

“Enam bulan pertama (landskap hartanah pada 2019) akan sukar, tetapi bagi enam bulan lagi kami berharap ia akan bertambah baik, ” katanya pada taklimat media mengenai unjuran syarikat itu, di sini hari ini.

Lim berkata tiga projek besar bakal dilancarkan di Lembah Klang iaitu kawasan pembangunan baharu [email protected], kawasan pembangunan baharu LBS Alam Perdana dan Residensi Bintang Bukit Jalil, akan menyumbang secara signifikan sehingga RM1.2 bilion kepada jumlah sasaran nilai jualan.

Nilai pembangunan kasar (GDV) tiga projek itu dianggarkan RM1.61 bilion.

“Kami berharap untuk menjual 90 peratus daripada projek berkenaan. Jika tidak akan terdapat banyak hartanah tidak terjual,” katanya.

Selain Lembah Klang, LBS Bina juga akan melancarkan projek perumahan teres dua tingkat, Laman Bayu di Bandar Putera Indah, Batu Pahat, Johor dan kluster kediaman setingkat di Taman Kinding Flora, Chemor, Perak.

“Masih terdapat permintaan kukuh bagi unit-unit berkualiti dan mampu milik.

“Strategi kami adalah menumpukan kepada lebih banyak unit mampu milik di kawasan pembangunan baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan jalan penghubung, dan reka bentuk cantik, yang terus mendapat sambutan menggalakkan oleh pasaran. Ini telah membantu kami dalam mengharungi suasana pasaran yang mencabar,” katanya.

Mengulas prestasi jualan pada 2018, Lim berkata ia amat sukar dan mencabar berikutan sentimen pasaran tidak menentu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, turun naik harga minyak mentah Brent, penyusutan ringgit berbanding dolar US, keputusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah dan pasaran mudah tunai yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, syarikat berjaya meraih jualan bernilai RM1.5 bilion berbanding RM1.4 bilion dicapai pada 2017.

Lim berkata syarikat pada awalnya berjaya menjual hartanah bernilai kira-kira RM3 bilion, tetapi 50 peratus jualan itu dibatalkan berikutan syarat ketat pinjaman perumahan dikenakan Bank Negara Malaysia.

“Saya menjangkakan masalah sama (pembatalan) akan turut berlaku pada tahun ini,” katanya.

Pada 31 Dis, 2018, jualan tidak dibilkan LBS Bina berjumlah RM1.745 bilion yang akan dapat menampung syarikat itu bagi dua tahun akan datang manakala jumlah bank tanah sebanyak 1,630 hektar .

— BERNAMA