Malaysia Dateline

A Kadir Jasin

Lebai, dari imej baik, kini negatif kerana Pas

1. Seperti dalam takrif utama Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah ini, lebai adalah gelaran yang baik. Ia merujuk kepada orang yang tahu berkenaan agama (Islam).

2. Tapi sejak Pas menyertai rampasan kuasa “Sheraton Move” dan menjadi penyokong tegar kerajaan Perikatan Nasional (PN), imej dan gelaran lebai mendapat gambaran yang cukup negatif dengan pelbagai gelaran, sindiran dan cemuhan.

3. Menurut tulisan Dr Mohd Soberi Awang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), perkataan lebai berasal daripada istilah Islami yang membawa maksud menyahut seruan (kebaikan) seperti dalam talbiyyah ketika mengerjakan haji.

4. Tapi macam juga gelaran-gelaran yang lain yang dikaitkan dengan Islam, lebai pun disalah guna dan dipesongkan. Sekarang ini kategori lebai yang kerap dikritik adalah berkaitan politik. Mereka dipanggil lebai politik.

5. Boleh jadi juga dari dulu lagi ada lebai yang tidak berkelakuan baik sehingga pelbagai gelaran buruk diberikan kepada mereka seperti Lebai Malang, lebai kelarah, lebai ketayap, lebai pulut dan sebagainya.

6. Zaman saya kanak-kanak dan remaja di kampung pada tahun 1950-an dan -60-an dulu, lebai cukup dihormati. Mereka ini dikira bawah sikit daripada tok guru.

7. Masa itu hanya lebai pakai ketayap. Orang biasa pakai songkok. Hanya tok guru dan orang yang sudah mengerjakan haji akan pakai jubah dan serban.

8. Hari ini ramai orang Melayu pakai macam orang Arab padang pasir sehingga pembuat songkok, kain batik dan songket susah nak cari makan. Orang Melayu sudah jadi Arab dari segi pakaian.

9. Boleh jadi bangsa Melayu bukanlah bangsa yang ada identiti kekal atau berbangga dengan adat resam sendiri. Orang Melayu suka meniru perkara-perkara yang mudah dan berubah ikut musim.

10. Berbalik kepada lebai politik, kita kena ingat tujuan utama mereka bukan syiar Islam tapi kuasa politik dan segala keuntungan yang datang bersama dengannya.
Wallahuaklam.Terima kasih.