Lebai dedah ‘skandal seks’ sah bukan ahli AMANAH, tolak ‘politik toksik’

Lebai dedah ‘skandal seks’ sah bukan ahli AMANAH, tolak ‘politik toksik’

AMANAH hari ini mengesahkan tiga individu yang mendakwa kononnya presiden AMANAH terlibat dalam hubungan curang dengan seorang wanita bukan anggota parti itu dan menggesa orang ramai khususnya para pengundi menolak budaya ‘politik toksik’.

Timbalan Setiausaha Agung AMANAH Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam sidang media di Wisma Amanah, dekat Kuala Lumpur sebentar tadi berkata, individu yang membuat dakwaan liar terhadap Mohamad Sabu itu jelas mempunyai agenda jahat terhadap AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) dan tektik ini bukanlah pertama kali berlaku dalam politik negara.

“Kami mengambil maklum sidang media semalam oleh tiga orang individu diketuai oleh penama Rizal bin Bakar yang mendakwa sebagai ahli AMANAH Kawasan Kuala Kedah.

“Justeru itu pihak kami telah membuat semakan pada pengkalan data keahlian parti terkini dan mendapati nama seperti di atas tiada dalam rekod keahlian kami,” jelas beliau.

Semakan dengan AMANAH Kuala Kedah juga, katanya mendapati tiada seorang pun pemimpin dan ahli parti yang mengenali individu tersebut.

“Kami percaya beliau mempunyai niat dan agenda jahat terhadap kepimpinan dan parti AMANAH serta Pakatan Harapan,” katanya.

Hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH, Wan Anuar Wan Ibrahim dan ahli jawatankuasa pimpinan nasional AMANAH, Aiman Athirah Al-Jundi.

Menurut Ahmad Kerdee, taktik serangan moral peribadi yang dibuat individu terbabit bukan suatu yang baru bahkan satu tindakan politik jahat yang lazim dibuat ke atas pimpinan pembangkang setiap kali berlangsung pilihan raya umum.

Sebelum ini beberapa ahli politik lain juga, ujar beliau telah menjadi mangsa politik kotor seperti ini.

Beliau yakin tindakan terdesak ini dibuat kerana Pakatan Harapan dan AMANAH sedang menerima sokongan yang semakin meningkat daripada rakyat khususnya di kalangan orang Melayu.

“Kajian terakhir menunjukkan sokongan Melayu terhadap PH meningkat dan pada masa yang sama sokongan Melayu kepada BN dan Pas merosot.

“Kami percaya tindakan ini dibuat untuk menghilangkan kepercayaan pengundi Melayu atas pagar dan penyokong Pas terhadap PH,” katanya.

Ahmad Kerdee juga mengajak seluruh pengundi dan rakyat untuk menolak sebarang amalan ‘politik toksik’ seperti ini.

“Kami dimaklumkan bahawa Tuan Haji Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu tersebut.

“Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ketiga-tiga individu tersebut kerana menyamar sebagai ahli AMANAH,” tegasnya.

Wan Anwar, Abang Ahmad Kerdee dan Athirah menggesa rakyat menolak politik toksik dan budaya kotor dalam politik.

Petang semalam, seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota AMANAH menuduh pemimpin parti itu berkelakuan sumbang dengan seorang wanita.

Rizal Abu Bakar dan dua rakannya yang mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel bajet di Kampung Baru, Kuala Lumpur berjanji untuk mendedahkan “skandal video seks terbaru” pemimpin AMANAH yang didakwa sebagai presiden parti Mohamad Sabu.

Mengaku sebagai ahli AMANAH Kuala Kedah, beliau menunjukkan tiga gambar tangkap layar perbualan WhatsApp pada kadbod bersaiz A3, yang kononnya memaparkan perbualan antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Beliau turut memainkan dua rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Dia mendakwa kedua-dua mesej WhatsApp dan klip audio itu menunjukkan pemimpin parti dan wanita tersebut terlibat dalam hubungan sulit.

Rizal yang didesak wartawan supaya mengeluarkan bukti yang lebih meyakinkan enggan berbuat demikian tetapi mahu pemimpin AMANAH terbabit membuat penafian dalam tempoh 36 jam.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote