Sudah lebih 10 hari menanti tindakan ‘berani’ dari Adun Bersatu di Johor yang mahu mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Adun Benut, Hasni Mohamed. Berani atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan empat orang Adun berkenaan.
Ternyata jelas bahawa mereka hanya bermain wayang sahaja seperti mana sebelum ini tindakan mereka yang mahu bersama PH dengan syarat pasukan mereka itu mahu menjadi Menteri Besar. Terang lagi bersuluh sekiranya mereka tidak berani maka khabar itu akan senyap sepi semula.
Apatah lagi, hari ini dikatakan dakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dituduh atas penyelewengan dana pilihan raya.
Pertuduhan itu pasti akan menjadi ugutan terbuka hingga membuatkan empat Adun itu menarik ‘hand brake’ serta mengatur semula langkah seterusnya selepas terbantut.
Umno pula berjaya memainkan peranannya yang jitu selepas mereka tahu Bersatu di Johor ini dibarisi oleh kalangan mereka yang bapok. Umno tahu selepas berulang kali mereka mempermainkan maruah Bersatu di Johor tetapi Adun-Adunnya tidak berani memberikan pendirian tegas.
Masing-masing mahu menyelamatkan kedudukan mereka. Semua mahu cari kerusi selamat seperti mana di Dun Permas, dia mestilah bersama dengan mana-mana pihak yang kuat seperti PH atau BN untuk terus mendapatkan peluang bertanding di kerusi berkenaan.
Kalau nak harap prestasi peribadi dan reputasi PN, pastilah ia akan menyukarkan peluang Adun itu untuk memenangi kerusi di Dun Permas. Akhirnya, dirinya tersepit akibat tamakkan kuasa dan jawatan.
Apalah yang boleh diharapkan dengan Adun-Adun Bersatu Johor yang semakin hilang maruahnya apabila dipermainkan oleh Umno di negeri ini. Ugut mengugut hanya menambah perisa untuk Umno lebih membunuh mereka.
Untuk mencari tempat selamat, mereka harus bergabung dengan PH, namun ‘demand’ yang diberikan oleh ketua kumpulan itu yang menetap di Kempas untuk jawatan Menteri Besar semula yang membantutkan segalanya.
Keinginan dan ‘tekak besar’ mereka membuatkan keadaan menjadi terbatas dan apa yang mereka pandai hanyalah mengugut Umno, itu sahaja. Untuk ubah kerajaan, bagaikan menanti bulan jatuh ke riba.