Lebih 10 tahun dalam industri, Shukri luah tak pernah terdetik di hati nak curangi isteri

Oleh MAISARAH AISYA

Kini dalam drama banyak watak lelaki kahwin dua selepas curang dengan isteri, hingga menyebabkan ramai risau pelakon tersebut benar-benar akan melakukan hal sama di luar.

Buat pelakon Shukri Yahaya yang baru sahaja membawa watak lelaki yang berkahwin dua di belakang isterinya, dia memandang serius akan komen netizen.

Baginya komen itu melindungi dirinya daripada rapat dengan penyondol serta lebih setia dengan isterinya, Tya Adnan.

Menurut Kosmo! Online, Shukri yang lebih 10 tahun dalam industri seni dan bergandingan dengan wanita jelita, dia tidak pernah terfikir untuk curang.

“Sebenarnya bagus apabila netizen cuba mempertahankan saya kerana secara tidak langsung mengingatkan saya serta orang ketiga agar tidak kacau hubungan harmoni saya dan isteri.

“Saya dah berlakon hampir 12 tahun, tapi saya tidak pernah terlintas untuk curang dengan isteri saya meskipun banyak bawak watak lelaki kaki perempuan.

“Jujurnya, sebaik habis berlakon saya tinggalkan karakter itu di set penggambaran dan tidak bawa pulang ke rumah.

“Bahkan saya tidak memanjangkan hal kerja dalam telefon atau bermesej dengan heroin,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Terkejut dapat watak lelaki curang

Shukri pada awalnya juga terkejut apabila pengarah memilihnya untuk membawa watak tersebut namun yakin akan potensi yang ada pada dirinya.

“Saya sendiri pun tidak tahu mengapa diberikan watak sebegitu, mungkin orang (sutradara) lebih percaya saya bawa karakter sebegitu berbanding pelakon lain.

“Saya terima sahaja apa yang saya rasa boleh bawa dan secara tidak langsung itu adalah rezeki, selagi saya boleh buat, saya buat semuanya tetapi tetap juga memilih watak yang sesuai.

“Saya bukan pelakon metode, hanya aplikasikan teknik kepada lakonan supaya nampak lebih natural dan tidak berlebihan,” ujarnya.